Pesta Makanan Untuk Industri Gastronomi Malaysia

KUALA LUMPUR – Pengunjung ke Pesta Gourmet Antarabangsa Malaysia (Taste MIGF) yang diadakan baru-baru ini di Hotel Berjaya Time Square tentunya berasa puas kerana dijamu dengan hampir 100 juadah.

 

 

Bertemakan ‘Galactic Chefs: A Food Odyssey’, juadah yang disediakan oleh 26 restoran terbaik di negara ini jelas menampakkan kelainan dengan citarasa tersendiri.

 

 

Taste MIGF yang menjadi program awal sebelum acara utama berlangsung sepanjang bulan Oktober ini berjaya mengharumkan nama Malaysia dalam industri gastronomi dunia.

 

 

Para tetamu yang hadir pada pesta makanan itu bukan sahaja berpeluang menikmati hidangan ayam goreng hitam istimewa dan juadah kolagen ikan tetapi juga beberapa juadah halal yang lazat.

 

 

Sejak penganjuran pesta ini pada tahun 2001, MIGF telah dinobat sebagai pesta makanan terbaik di rantau ini.

 

 

Dari tahun ke tahun, pesta ini berjaya menarik minat peminat makanan dalam dan luar negara.

 

 

Untuk pesta yang akan diadakan pada bulan Oktober ini, chef terkemuka daripada restoran terbaik negara ini akan menyediakan juadah yang disusun khas dengan harga eksklusif di samping tawaran pesta yang lain.

 

 

Chef eksekutif restoran Minori yang berpangkalan di Kuala Lumpur, Takahiro Ishida yang menyediakan juadah ciptaannya yang terbaharu ‘Collegen Mochi’, kolagen ikan daripada tulang dan sisik ikan Talapia telah berjaya menambat hati para tetamu.

 

 

Juadah ini yang turut mengandungi ramuan serbuk soya dan gula perang Jepun ternyata begitu enak sekali.

 

 

Menurut chef ini, memandangkan MIGF ini bertemakan galaksi dan masa depan, beliau membuat keputusan menggunakan bahan yang jarang digunakan dalam mana-mana pesta makanan.

 

 

“Kolagen ikan lazimnya digunakan untuk produk penjagaan kulit dan malahan untuk tujuan perubatan, justeru saya percaya masakan masa depan bukan sahaja menggunakan ramuan yang sering digunakan.

 

 

“Sebab itulah saya hidangkan juadah baru ini untuk memberikan kelainan dalam industri masakan,” beliau memberitahu Bernama.

 

 

Sementara itu, chef Ikuo Umeda dari Restoran Ltitude yang juga berpangkalan di Kuala Lumpur telah menyediakan juadah yang sungguh menakjubkan dipanggil ‘Kuroi Karaage’ yang bermakna ‘Ayam Goreng Hitam’.

 

 

Menurut Ikuo, warna hitam yang melitupi ayam sebenarnya dakwat sotong yang digoreng bersama ayam dan seakan bentuk tahi bintang atau meteorit.

 

 

Bagi meningkatkan rasa juadah ayam ini, enak kalau ia dicicah dengan sos berwarna yang dibuat khas.

 

 

Ada tiga jenis sos yang diperbuat dengan menggunakan tiga ramuan yang berlawanan iaitu sos soya buatan istimewa (putih), buah citrus dipanggil ‘Yuzu’ (oren) dan lobak Jepun (warna merah jambu).

 

 

Menurut Ikuo, beliau mendapat idea untuk menghasilkan juadah ayam goreng hitam itu setelah melihat tema MIGF yang menggambarkan pengembaraan merentas angkasa lepas.

 

 

Pengasas yang juga pengerusi penganjuran, Datuk Steve Day berkata industri gastronomi Malaysia telah menunjukkan peningkatan berbanding keadaan pada tahun 2001 yang mana terdapat hanya 12 restoran mewah di setiap negeri.

 

 

“Banyak lagi yang perlu kita lakukan sekiranya mahu setanding, katakanlah dengan Paris,” kata Steve.

 

 

Menurut beliau, untuk Malaysia mencapai taraf antarabangsa, mesti ada restoran yang mendapat Bintang Michelin (tahap kecemerlangan yang dianugerah kepada restoran oleh Michelin Travel Guide).

 

 

Oleh yang demikian, katanya, industri makanan tidak hanya boleh dianggap dengan makanan yang dijual di gerai penjaja.

 

 

“Satu cara ialah makanan Malaysia dijual di restoran yang bagus. Untuk menarik pelancong daripada golongan berada, kita perlu menyediakan makanan yang bertaraf tinggi dan global,” beliau memberitahu Bernama.

 

 

Beliau menambah, industri gastronomi tempatan perlu terus kekal unik, hebat dan disegani supaya dapat mengatasi negara lain.

 

 

Tambahnya, pertambahan acara berkaitan dengan makanan yang diadakan di seluruh negara juga dapat memperkuatkan kedudukan serta menggalakkan pertumbuhan dalam industri gastronomi serta ekonomi negara.-Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.