Perkasa Tak Tersinggung Atau Rugi

SHAH ALAM – Perkasa tidak tersinggung malah menyatakan mereka tidak rugi apa-apa dengan penolakan jalinan kerjasama Pas Selangor.

 

Yang Dipertua Perkasa Selangor, Abu Bakar Yahya menangkis dakwaan Pas Selangor bahawa pertubuhan mereka rasis sebaliknya masih menghormati bangsa lain di samping berusaha mempertahankan Perlembagaan Malaysia.

 

Katanya, Iskandar sebagai pemimpin tidak wajar mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana Pas sebuah parti politik yang memerlukan undi rakyat.

 

“Perkasa tak rugi apa-apa kerana kami tidak bertanding dalam pilihan raya, malah kami NGO yang sedia membantu parti yang bertanding.

 

“Pesuruhjaya Pas Selangor mesti lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan kerana keadaan Pas di Selangor tidak seutuh dahulu. Hubungan Pas dengan DAP retak dirumitkan lagi kewujudan Parti Amanah Negara (Amanah) seharusnya mendekati pengundi dengan lebih berhemah,” katanya kepada Sinar Harian, kelmarin.

 

Sementara itu, Abu Bakar menyatakan niat sebenar Perkasa mengatur pertemuan dengan Pas kerana menghormati keberanian parti Islam berkenaan menyingkir ahli yang tidak sehaluan dan memutuskan hubungan dengan DAP kerana sering menentang perjuangan Islam dan menafikan hak istimewa Melayu.

 

“Perkasa sangat mengagumi ketegasan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, malah dalam pertemuan kelmarin memang diputuskan untuk menjalin kerjasama dalam beberapa perkara demi keselamatan negara termasuk mengutuk TPP, menolak tangkapan terhadap bekas pemimpin akar umbi Umno Datuk Khairuddin Abu Hassan dan peguam Matthias Chang dan isu 1MDB,” katanya.

 

Sebelum itu, Pas Pusat menerima kunjungan hormat daripada Perkasa dan pertemuan itu dihadiri oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.