Pemandu Bot Teksi Ditetak Lelaki Bertopeng

BESUT – Seorang pemandu bot teksi di Pulau Perhentian cedera parah selepas ditetak berkali-kali di bahagian kakinya dipercayai oleh tiga lelaki bertopeng ketika mangsa berada di dalam sebuah kedai gunting di Kampung Pachakan dekat Kuala Besut, di sini, petang kelmarin.

 

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa yang berusia 23 tahun ditetak dengan menggunakan pedang oleh suspek terbabit.

 

Ketua Polis Besut, Superintendan Khaled Che Lah berkata, kejadian berlaku ketika mangsa bersama seorang rakannya berusia 21 tahun berada di dalam sebuah kedai gunting apabila tiba-tiba datang sebuah kereta Proton Perdana berwarna hitam berhenti di hadapan kedai.

 

Menurutnya, tiga lelaki bertopeng telah keluar dari kereta tersebut dengan masing-masing bersenjatakan pedang telah menyerbu masuk ke dalam kedai gunting tersebut.

 

“Rakan mangsa yang ketakutan selepas melihat kehadiran suspek terus bersembunyi di bawah kerusi  manakala mangsa melarikan diri melalui  belakang kedai,” katanya.

 

Khaled berkata, bagaimanapun usaha mangsa melarikan diri tidak berjaya apabila suspek yang mengejarnya berjaya menangkapnya kemudian bertindak menetak mangsa bertubi-tubi di beberapa bahagian anggota badan mangsa.

 

Menurutnya, suspek kemudian beredar meninggalkan tempat kejadian dengan kereta tersebut selepas menetak mangsa.

 

Kata beliau, apabila keadaan reda dan semua suspek melarikan diri, rakan mangsa pergi ke tempat manga dan mendapati rakannya  dalam keadaan cedera parah akibat ditetak.

 

Khaled berkata, mangsa mengalami kecederaan parah apabila mengalami kecederaan di bahagian kaki kiri serta kepala, lengan, tangan, ibu jari, buku lali dan betis sebelah kanan,

 

“Mangsa telah dikejarkan dengan ambulan ke Hospital Besut sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan untuk rawatan lanjut,” katanya.

 

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa tidak mengenali suspek dan tidak tahu punca kejadian kerana tidak bermusuh dengan sesiapa.

 

Mangsa yang beralamat di Kampung Air Tawar, Semerak, Pasir Putih, Kelantan berada dalam keadaan stabil.

 

“Motif dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan manakala  ketiga-tiga suspek sedang dikesan. Polis juga memohon kerjasama orang ramai yang menyaksikan kejadian itu atau mempunyai maklumat berkaitan supaya menghubungi mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

 

Sementara itu kejadian tersebut telah menjadi viral dilaman sosial dan pelbagai andaian dibuat termasuk ada yang mengatakan kejadian bermotifkan dendam.

 

Khaled berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.