Moga Allah Buka Hati Mahathir, Muhyiddin Untuk Keluar UMNO – Lokman

Kuala Lumpur – Ahli panel pemikir JASA, Lokman Noor Adam melahirkan rasa kecewa dengan tindakan bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Saifuddin Abdullah ke dalam PKR hari ini..

 

Beliau ketika dihubungi SuaraTV dengan nada yang sinis berkata Saifuddin sepatutnya memilih untuk menyertai DAP.

 

“Saya agak kecewa dengan penyertaan Saifuddin Abdullah ke dalam PKR, saya kecewa bukan kerana beliau meninggalkan UMNO tapi kecewa apabila beliau tidak memilih parti DAP, ini kerana kalau dilihat perjuangan DAP lebih serasi dengan aspirasi serta matlamat politiknya.

 

“Saya juga yakin ahli-ahli UMNO tumpang gembira dengan keputusan beliau untuk keluar parti namun persoalannya mengapa beliau mengambil masa terlalu untuk meninggalkan UMNO” soalnya kepada SuaraTV sebentar tadi.

 

Saifuddin yang juga merupakan bekas ahli parlimen Parlimen itu petang tadi memberitahu media bahawa perjuangan Umno dan Barisan Nasional telah jauh berbeza dan ia mendorong tindakannya untuk melompat ke PKR.

 

Menurut Saifuddin, beliau mempunyai objektif jelas dalam politik, iaitu untuk berjuang dan melakukan perubahan politik serta pembaharuan institusi, tetapi beliau percaya tidak boleh berbuat demikian, jika bersama Umno.

 

Lokman ketika diminta mengulas lanjut mengenai perkara itu berharap, tindakan Saifuddin itu akan turut membuka hati mereka yang tidak lagi mempunyai jiwa dan semangat perjuangan UMNO untuk mengambil pendekatan yang serupa.

 

“Saya berdoa semoga Allah membuka hati Mahathir dan Muhyiddin untuk mengambil tindakan seperti Saifuddin keluar dari UMNO.

 

“Saya percaya tindakan itu akan menyebabkan UMNO kembali kuat, kerana mereka yang bersifat seperti gunting dalam lipatan sudah tidak ada lagi di dalam parti” katanya lagi.

 

Gesaan Lokman itu merujuk kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin yang lantang menyuarakan penentangan terhadap apa yang disifatkan mereka sebagai penyalahgunaan undang-undang dalam kes penahanan bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya Matthias Chang di bawah SOSMA.

 

Menurut Dr Mahathir, Khairuddin hanya melaporkan kekeliruan yang berlaku dalam kerajaan dan seharusnya dibebaskan, manakala Muhyiddin menggesa semua ahli UMNO di setiap peringkat agar lebih berani menyuarakan pandangan serta kegusaran mereka terhadap pentadbiran dan kepimpinan parti itu. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.