Lebih 200 Permohonan Skim Perumahan Belia Diluluskan

PUTRAJAYA – Lebih 200 daripada kira-kira 500 permohonan yang diterima bagi Skim Perumahan Belia telah diluluskan, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong.

 

“Pasangan belia berkahwin digalak memohon (skim ini), yang menawarkan pelbagai kelebihan berbanding skim atau program perumahan lain yang ditawarkan oleh kerajaan,” katanya, sambil menambah skim itu memberi kemudahan kepada pasangan muda untuk memiliki harta kediaman pertama mereka.

 

Bercakap pada sidang akhbar di sini, hari ini, Tee Yong berkata, kelulusan pembiayaan berjumlah RM1 bilion disasarkan menjelang akhir tahun ini dengan tawaran pinjaman dibuka terhad kepada 20,000 pemohon yang layak.

 

Beliau berkata, Bank Simpanan Nasional (BSN) yang mempunyai 401 cawangan di seluruh negara adalah bank tunggal yang dilantik untuk melaksanakan skim tersebut.

 

Antara kelebihan skim tersebut adalah pembeli tidak perlu menyediakan deposit yang biasanya menjadi halangan dalam kalangan pembeli untuk memiliki rumah kerana skim berkenaan menyediakan pembiayaan penuh.- BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.