Anwar Saman Bekas Calon BN, Dr Mazlan

Kuala Lumpur – Bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memfailkan saman fitnah terhadap Dr Mazlan Ismail, calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13, kerana menuduhnya memberi rasuah kepada hakim dan pendakwa.

 

Anwar, yang ketika ini menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh susulan sabitan kes liwat, juga memfailkan saman yang sama terhadap, Sistem Televisyen Malaysia Bhd dan Utusan Melayu (M) Bhd kerana menerbitkan perkataan fitnah itu.

 

Writ dan pernyataan tuntutan itu difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang ini melalui firma guaman Karpal Singh & Co.

 

Beliau memohon sejumlah ganti rugi yang tidak ditentukan, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

 

Mazlan, yang dikalahkan Anwar untuk kerusi Parlimen Permatang Pauh, mendakwa menerima lebih 6,000 surat tanpa nama mendakwa Anwar membayar Karpal Singh lebih RM50 juta sejak 2008 sebagai yuran guaman dan rasuah kepada hakim dan pendakwa.

 

Karpal merupakan peguam Anwar dalam kes liwat keduanya yang melibatkan bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

 

Peguam itu meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada April tahun lepas.

 

Anwar berkata, Mazlan mengadakan sidang akhbar pada 2 Ogos, 2013 dan membuat kenyataan fitnah itu yang disiarkan stesen televisyen berkenaan pada malam sama.

 

Akhbar Utusan Malaysia menerbitkan kenyataan itu keesokan harinya.

 

Anwar berkata, kenyataan defendan itu membawa maksud beliau seorang ahli politik yang tidak mempunyai integriti, bermoral rendah dan tidak sesuai memegang jawatan awam kerana beliau memberi rasuah.

 

Katanya, ketika kenyataan itu dibuat, beliau merupakan ketua pembangkang dan ahli Parlimen Permatang Pauh, serta tuduhan itu membuatkan beliau dipandang rendah di mata orang ramai.

 

Beliau berkata, penerbit dan stesen televisyen itu mengamalkan kewartawanan yang tidak bertanggungjawab kerana mereka tidak mengesahkan kenyataan Mazlan terlebih dahulu.

 

Anwar dan Karpal juga sebelum ini membuat laporan polis terhadap Mazlan, TV3 dan Utusan kerana menyiarkan berita palsu itu.

 

Bagaimanapun, polis hanya mengklasifikasikan laporan itu sebagai fitnah jenayah, tetapi tiada tindakan diambil.

 

Mereka berdua kemudiannya menghantar surat kepada peguam negara ketika itu Tan Sri Abdul Gani Patail, bertanya tentang status laporan mereka terhadap Mazlan yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada 4 Ogos, 2013.

 

Pada masa itu, Karpal berkata, beliau menjangkakan Gani akan memberi perhatian khusus kepada kes itu kerana Mazlan turut mengaitkan kedua-dua badan kehakiman dan pegawainya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.