Tumpuan Berterusan Rangsang Ekonomi Daripada Teknologi Hijau – Muhyiddin

Kuala Lumpur – Kerajaan akan terus memberi tumpuan ke atas teknologi hijau sebagai pemboleh upaya berkesan ke arah usaha untuk meningkatan pertumbuhan ekonomi mesra alam sekitar dan mampan dari segi sosial, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, kerajaan komited menyediakan akses kredit yang lebih baik, insentif dan program pembangunan kapasiti bagi memudahkan dan merangsang pelaburan ‘hijau’ yang seterusnya akan merangsang usaha tersebut, terutama dalam kalangan penggerak sektor komersil dan swasta.

Pelan Tindakan Teknologi Hijau yang akan dilancarkan tidak lama lagi memperlihatkan bukti minat bersungguh-sungguh kerajaan untuk terus menyediakan arah tuju dan motivasi untuk pertumbuhannya, dan pelaburan yang dijanjikan dalam teknologi berkaitan ekonomi hijau, katanya dalam ucaptama pada Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau dan Eko-Produk (IGEM2014) kelima di sini, pada Selasa.

“Kerajaan yakin dasar berkesan dan rangka kerja yang kukuh dalam mempromosi pelaburan yang lebih besar dalam pertumbuhan hijau akan memberi kesan langsung dalam menangani dan mengurus perubahan berkaitan alam sekitar seperti air, tenaga, jaminan makanan dan kesihatan,” katanya.

Muhyiddin bagaimanapun berkata usaha bersepadu dan kerjasama semua pihak, termasuk penggiat industri dan pengguna sumber alam semula jadi, penting dalam membangunkan ekonomi yang lebih mampan.

“Saya yakin sebagai satu kumpulan, kita akan memperkukuh kelebihan dan mengoptimumkan kekuatan dan kedudukan untuk meraih manfaat yang ditawarkan oleh pasaran hijau dunia,” katanya.

Muhyiddin berkata menurut Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNEP) dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Permintaan dunia untuk produk dan perkhidmatan mesra alam dianggarkan US$1.37 trilion (RM4.4 trilion) pada 2008, dan dianggarkan meningkat dua kali ganda menjelang 2020.

Oleh itu, beliau berharap penggerak industri akan mengambil peluang ke atas petunjuk positif ini untuk mengguna pakai teknologi mesra alam dan mampan.

“Saya menggesa semua penggiat industri supaya bekerja bersama-sama bagi membangunkan teknologi hijau baharu untuk merebut potensi besar pewujudan kekayaan selain memastikan kebajikan negara dan komuniti,” katanya.

Mengenai penyelidikan dan pembangunan (R&D), Muhyiddin berkata kerajaan dan penggiat industri mesti bekerja rapat bagi memastikan teknologi hijau yang praktikal dan berdaya maju boleh dihasilkan dan diguna pakai oleh peserta pasaran ada kos yang munasabah.

Beliau berkata semua pihak terlibat dalam proses ini memahami bahawa kos penyelidikan bagi eko-produk akhir hasil daripada R&D yang akan memberi manfaat bersama dan berdaya maju dari segi komersil, boleh dikongsi.

Sementara itu, Muhyiddin juga menggesa Jawatankuasa Alam Sekitar dan Pembangunan PBB (UNCED) memberi bantuan dari segi sumber pembiayaan, program pembangunan kapasiti dan pemindahan teknologi mesra alam sekitar kepada negara membangun dan kurang membangun untuk mengurus alam sekitar hijau secara mampan.

“Saya juga menggesa kerajaan negara maju supaya membantu negara membangun merealisasikan pengurusan sumber dan alam sekitar yang mampan,” katanya.

Turut hadir Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron dan kenamaan asing.

Bertema ‘Creating Green Wealth”, IGEM2014 selama tiga hari itu disertai lebih 200 peserta pameran dari 20 negara yang mengetengahkan produk dan perkhidmatan teknologi hijau di 600 gerai pameran.

IGEM2014 yang dianjurkan oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, dijangka menarik lebih 60,000 pengunjung tempatan dan asing dan menjana potensi peniagaan bernilai kira-kira RM1.2 bilion.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.