Tahap Keselamatan Di Perairan Sabah Terkawal – Panglima ATM

Kota Baharu – Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata tahap keselamatan di perairan Sabah berada dalam keadaan terkawal.

Beliau berkata pihaknya sentiasa mengadakan rondaan bagi memastikan tahap keselamatan terutama di Pantai Timur Sabah, berada dalam keadaan selamat.

“Keselamatan di Pantai Timur Sabah terjamin dan rakyat tidak perlu bimbang kerana pihak tentera dalam jumlah yang besar,” kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Program Summer Camp 11/2014 di Kem Desa Pahlawan di sini, hari ini.

Sebanyak 553 pelajar dari 15 buah sekolah di Kelantan menyertai program lima hari yang melibatkan ATM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Turut hadir Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) PDRM Datuk Rusli Ahmad dan Panglima 8 Briged, Brig Jen Datuk Azmy Yahya.

Beliau berkata ATM menyambut baik pengumuman kerajaan untuk menggunakan sebuah pelantar minyak yang diubah suai kepada sebuah pangkalan tentera di perairan Sabah yang akan memudahkan kerja pemantauan dilakukan pihaknya.

“Kita akan letakkan sebuah helikopter serta bot dan sekiranya berlaku kejadian seperti penculikan, kita akan pintas suspek dari jalan laut, kalau dulu kita kejar dari darat memang tak sempat.

“Ada sahaja laporan, kita pintas di kawasan yang kita syaki akan dilalui suspek dan helikopter akan terbang dari atas untuk membantu bot,” katanya.

Zulkifeli berkata antara 40 dan 50 anggota akan ditempatkan di pangkalan berkenaan yang terletak kira-kira 15 batu nautika dari Pantai Timur Sabah.

“Mereka tidak perlu balik ke pulau dan hanya balik ke pangkalan yang telah diwujudkan itu,” katanya.

Pada pengumuman Bajet 2015, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan juga akan menggunakan satu pelantar minyak yang diubah suai dan sebuah kapal bantuan sebagai ‘sea basing’ (pangkalan laut) di perairan kawasan Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah dengan peruntukan sebanyak RM230 juta melalui program tanggungjawab sosial korporat Petronas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.