Tabung Bencana NSTP – Media Prima Diaktifkan Semula

Kuala Lumpur – Media Prima Bhd mengaktifkan semula Tabung Bencana NSTP – Media Prima berikutan kejadian banjir di Sabah dan juga sebagai langkah persediaan bagi kawasan lain yang lazimnya dilanda banjir pada musim tengkujuh ini.

Penasihat Tanggungjawab Sosial Kumpulan Media Prima, Datuk Ahmad A Talib, berkata banjir di Sabah memberi kesan kepada ramai keluarga khususnya di Penampang.

“Sementara menunggu kutipan derma, Media Prima akan mula mengagihkan keperluan asas kepada mangsa mulai minggu ini. Kami berharap agar bantuan asas ini dapat meringankan beban mangsa banjir berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Antara barangan keperluan asas yang diperlukan mangsa banjir ini termasuk bahan makanan, bekalan air minuman, barangan keperluan kesihatan, selimut dan barang keperluan harian yang lain.

Orang ramai yang berhasrat untuk menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mangsa banjir boleh menyalurkan sumbangan melalui Tabung Bencana NSTP – Media Prima.

Tabung Bencana ini dimulakan pada 2 Oktober 2009 untuk membantu mangsa bencana alam dengan memasukkan sumbangan kepada akaun Maybank 5141-0532-0757.

Sumbangan boleh disalurkan menerusi kemudahan Maybank2u.com, ATM dan perbankan melalui telefon KawanKu, Mesin Deposit Tunai Maybank, Mesin Deposit Cek Maybank atau menerusi mana-mana Kaunter Maybank.

Sumbangan menerusi cek hendaklah ditulis atas nama “Tabung Bencana NSTP-Media Prima” boleh juga disalurkan kepada Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima Bhd, Tingkat 1, Anjung Riong, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.