Skim Mikrokredit Miskin Bandar Tanpa Birokrasi Untuk Peniaga Uptown Seksyen 24

Shah ALam – Kerajaan Selangor menyalurkan bantuan awal berjumlah hampir RM1 juta bagi membantu peniaga yang gerainya musnah dalam kebakaran di Uptown Seksyen 24, Shah Alam, awal pagi tadi.

Bentuk bantuan yang diberikan adalah pinjaman kewangan maksimum tanpa faedah Skim Miktokredit Miskin Bandar (MIMBAR) berjumlah RM5,000 seorang tanpa sebarang birokrasi.

Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) selaku pemilik tanah Kompleks Muhibbah pula akan memberi bantuan kewangan bencana secara tunai melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) berjumlah RM500 kepada setiap peniaga terbabit.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali yang turun melawat lokasi kebakaran bagi melihat sendiri kawasan kejadian yang menjadi tumpuan peniaga di Shah Alam.

Mohamed Azmin berkata, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan menggunakan sebidang tanah seluas 6.5 ekar di sebelah kawasan kejadian untuk dijadikan kawasan perniagaan sementara bagi peniaga peneruskan perniagaan mereka untuk sementara waktu.

Kerja-penurapan akan dilaksana segera selain membina lot kedai sementara untuk peniaga meneruskan perniagaan dalam kadar segera, selain kemudahan termasuk khemah dan tandas awam.

“Kita bersetuju supaya peniaga meneruskan perniagaan serta merta kerana ini punca pendapatan mereka. Datuk Bandar sudah mengenalpasti tapak seluas 6.5 ekar di sebelah kawasan ini yang diperuntukkan untuk Kompleks Ibu Tunggal.

“Tetapi kita bersetuju pagi tadi, Kerajaan Negeri akan turap keseluruhan kawasan dan akan menyediakan khemah sementara untuk peniaga terbabit supaya mereka berpindah dan memulakan perniagaan dalam masa terdekat,” katanya.

Sebelum itu, Mohamed Azmin yang tiba pada jam 12.30 tengah hari ditemani Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari melawat sendiri kawasan kejadian yang mengakibatkan 187 lot kedai musnah dijilat api.

Beliau turut diiringi Datuk bandar Shah Alam, Mohd Jaafar Mohd Atan yang memberikan maklumat berkenan perkembangan kejadian kebakaran.

Untuk jangka panjang, Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri dan PKNS akan membangunkan semula kawasan itu dengan mengambil kira soal keselamatan, pengurusan serta kemudahan termasuk kawasan letak kereta pengunjung.

MBSA juga dijangka membentangkan kertas kerja untuk membangunkan kawasan itu minggu hadapan dan akan dibincangkan dalam Mesyuarat Exco.

Dalam satu kejadian kebakaran awal pagi tadi di Uptown Seksyen 24, di sini mengakibatkan 196 peniaga berputih mata kerana tidak sempat menyelamatkan barang perniagaan mereka.

Anggota Bomba dan Penyelamat Shah Alam yang menerima panggilan kecemasan pada jam 2.55 pagi bergegas ke tempat kejadian untuk memadamkan api.

Jurucakap bomba berkata, api berjaya dipadamkan sekitar jam 5.30 pagi dan dianggarkan kos kerugian berjumlah RM19.36 juta

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.