Sehingga Sekarang Tak Ada Yang Mendekati, Saya Sibuk Bekerja – Sherry Alhadad

Petaling Jaya – Lumrah manusia di dunia ingin disayangi dan menyayangi. Pengacara Melodi di TV3, Sherry Alhadad juga tak terkecuali. Dengan popularitinya sekarang, tidak mustahil tiada yang mahu mendekatinya.

Ketika menghubunginya baru-baru ini, Sherry memberitahu dia masih solo dan sambil berseloroh sempat mengalu-alukan sesiapa yang ingin mendekatinya jangan segan berbuat demikian. Sempat bergurau lagi, beliau berkata dia bukan jenis makan orang.

“Sifat semula jadi manusia nak berteman. Adatlah ada Adam pasti wujud Hawa. Tapi sehingga sekarang, memang tak ada yang nak mendekati saya. Mungkin juga saya sibuk bekerja hingga tak ada masa nak fikir semua ini.

“Saya jenis tak kisah sangat bab kriteria lelaki idaman. Kita nak cari yang serasi. Otak biar sekepala,” katanya yang pernah bercinta sebelum ini.

Ketika ini, Sherry selain memberikan komitmen setiap Ahad untuk program Melodi bersama Awal Ashaari dan Zulin Aziz, beliau sibuk menjalani latihan teater AsramaRaAllStars yang akan dipentaskan di Pentas 1, KLPAC pada 16 hingga 19 Oktober ini.

“Teater ini pernah dipentaskan tahun lalu di Bangunan MARA. Cuma bezanya untuk kali ini ia dilakonkan oleh pelakon yang dikenali.

“Dulu pelakon di kalangan pekerja bengkel. Malah Nadiya Nisaa pun berlakon dulu. Kali ini pun dia berlakon juga.

“Selain saya dan Nadia, pelakon lain yang ada seperti Fynn Jamal, Tuan Faisal, Intan Nor Saina, Dira Abu Zahar, Sharifah Amani, Amerul Affendi dan Siti Saleha. Jalan cerita masih sama,” katanya.

Harga tiket untuk menonton teater ini ialah RM50.

Untuk membeli tiket boleh layari www.ticketpro.com.my.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.