PDRM Mula Kerja Peringkat Awal Bina IPD Dan IPK

Kuala Besut – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah memulakan kerja peringkat awal bagi pembinaan beberapa Ibu Pejabat Polis Kontinjen dan Balai Polis Daerah, mengikut peruntukan Bajet 2015 dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Jumaat lalu.

Pengarah Jabatan Logistik PDRM Bukit Aman, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, pihaknya akan memastikan projek yang dirancang seperti pembinaan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis, Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai di Negeri Sembilan, dan Ibu Pejabat Polis Daerah Tanjung Malim di Perak dapat dilaksanakan secepat mungkin.

“Pihak kami dan Kementerian Dalam Negeri sudah memulakan kerja-kerja awal sebaik sahaja bajet dibentangkan.

“Di Kelantan, Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas akan dimulakan kerja-kerja pembinaan tidak lama lagi dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun manakala bangunan asal itu dikekalkan sebagai Balai Polis Pasir Mas,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Polis Bersama Masyarakat dan Pembersihan Taman Laut dan Pantai di Pulau Perhentian di sini, semalam.

Turut hadir pada program tersebut Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa dan Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Rosli Ab Rahman.

Lebih 70 anggota Pasukan Polis Marin (PPM) bersama-sama Jabatan Taman Laut Terengganu dan penduduk kampung di Pulau Perhentian menyertai program yang dianjurkan selama tiga hari bermula 14 Oktober.

Zulkifli berkata, aktiviti yang melibatkan beberapa kawasan di Pulau Perhentian Kecil dan Pulau Perhentian Besar itu adalah satu usaha memelihara dan memulihara hidupan laut, selain memupuk kesedaran orang ramai mengenai kepentingan menjaga taman laut.

“Hampir 20 lokasi kita turun untuk lakukan kerja-kerja pembersihan taman laut ini dan harap ia menjadi kepentingan dalam kalangan penduduk di pulau ini,” katanya,

Beliau berkata, pihaknya turut menyasarkan beberapa pulau lain seperti Pulau Tioman, Pulau Redang dan Pulau Kapas untuk kerja-kerja pembersihan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.