Nina Fokus Perniagaan Online, Jarang Ambil Tawaran Berlakon

Petaling Jaya – Dua tahun sejak kontroversi yang mengaitkan dirinya, pelakon Siti Fazurina atau lebih mesra dengan panggilan Nina, 32, seakan menyepi daripada dunia lakonan.

Bertemu beliau di satu majlis hiburan semalam, MD sempat bertanya kepada pelakon yang popular menerusi sitkom ‘Dunia Anita’ dan Puteri’ mengenai perkembangan terbarunya.

Mengakui memang dia sudah jarang mengambil tawaran berlakon, beritahu Nina dia sekarang mahu fokus dengan perniagaan pakaian muslimah jenamanya sendiri, ‘Nina Fazurina Collection’.

Perniagaan pakaian muslimah ini diusahakan secara serius sejak awal tahun ini. Buat masa ini Nina menjalankan perniagaan menerusi online dan bakal membuka sebuah butik di Medan Mara, bermula awal tahun depan.

“Saya dah kurang berlakon bukan sebab sudah tidak laku lagi. Saya masih laku (gelak. Tawaran tu ada tapi sejak berhijab saya sudah jarang ambil tawaran berlakon. Kalau saya nak berlakon, saya harus tengok dulu watak yang bagaimana dan ia sesuai dengan imej saya sekarang. Lagipun keutamaan saya kini bukan lagi pada dunia lakonan tetapi saya fokus pada perniagaan saya. Tapi saya tak akan tinggalkan lakonan sebab lakonan ni sudah seperti sebahagian dari roh saya.

“Dari dulu lagi saya minat berniaga. Tambahan saya ada kelulusan dalam bidang perniagaan. Dan cita-cita saya, selepas umur 30 tahun saya ingin memiliki produk saya sendiri. Alhamdulillah tak lama lagi saya akan buka butik. Selain pakaian muslimah, bermula tahun depan butik saya juga menawarkan pakaian lelaki dan kanak-kanak” katanya kepada Malaysian Digest.com.

Dalam pada itu, Nina bersyukur kerana dia kini bahagia menjalani kehidupan bersama suami, Muhammad Hykal, 31. Lebih mengembirakan hubungan dia dan ibunya serta keluarga juga sudah semakin baik.

“Alhamdulillah, apa yang dah lepas tu biarlah lepas. Setiap manusia lakukan kesilapan. Saya kini jalani kehidupan seperti biasa, bahagia macam pasangan suami isteri lain. Hubungan dengan ibu dan keluarga juga bertambah baik.

“Cuma buat masa ni kami belum lagi dikurniakan zuriat. Nak buat macam, belum rezeki. Tapi kami berusaha kuat juga ni”, tuturnya sambil tertawa kecil.

Dalam perkembangan lain, Nina dan suaminya sibuk dengan aktiviti komuniti yang diberi nama ‘Bestlah’ (Best Enterprenur Selebriti Love All Hijrah). Bersama lebih 20 rakan artis, mereka menjalankan akvititi sepertini berniaga produk masing-masing di bazaar-bazaar. Antara artis yang telibat dengan komuniti seperti Yatt Hamzah, Azza (Elite) Norseha, Zul Yahya, Altimet dan ramai lagi.

“Bestlah ni macam komuniti dan digerakkan oleh saya dan suami bersama beberapa rakan artis yang sudah berhijrah. Selepas berubah imej walaupun kami semua jarang keluar televisyen, tapi peminat masih boleh mengikuti perkembangan kami dan berjumpa lebih dekat dengan kami yang berniaga di bazaar-bazaar. Macam baru-baru kami buat satu program bersama Wak Doyok, sambutan dikalangan para peminat sangat mengalakkan.

“Untuk program seterusnya kami bekerja dengan Mayang Sutra dan kami akan adakan satu acara promosi yang mana orang ramai boleh menempah hotel di Sunway Lagoon bermula dengan harga 99 sen. Selain itu ditawarkan homestay terpilih seluruh malaysia dengan harga RM1.

“Nampak promosi ni macam mengarut tapi orang ramai pasti tak rugi kalau mereka ambil peluang pakej ini. Kami akan adakan promosi serentak di empat negeri iaitu di Pulau Pinang, Johor, Kuatan dan Kuala Lumpur (di The Curve) pada 24hb, 25hb, 26hb, 31hb Oktober dan 1hb -2hb November ini. Pada yang berminat boleh lah kunjungi lokasi kami nanti. Disetiap lokasi, akan ada 5 artis dari komuniti Bestlah”,katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.