Miera Liyana Lebih Berhati-Hati Buat Aksi ‘Daring’ Selepas Isu Gaun

Kuala Lumpur – Kontroversi yang mengaitkan dirinya kira-kira empat tahun lalu gara-gara gaun labuh yang digayakan di ABPBH 2010 yang menampakkan sebahagian payudaranya merupakan satu pengajaran besar buat pelakon Miera Liyana.

Impak isu tersebut, gadis berusia 21 tahun ini mengambil masa untuk kembali bangkit dan berdepan dengan umum. Malah dia pernah berjanji yang dia akan lebih berhati-hati dari segi penampilannya dan tidak akan berpakaian terlalu seksi lagi di masa akan datang.

Bagaimanapun, menerusi filem terbaru lakonannya berjudul ‘Dendam Orang Mati’, Miera Liyana kemungkinan bakal berdepan dengan kritikan daripada segelintir penonton ekoran beberapa lakonan ‘beraninya’. Antaranya babak di kolam renang yang memperlihatkan dia dalam keadaan berbikini serta adegan di atas katil bersama Fizz Fairuz

Mengulas mengenai perkara tersebut, Miera mengakui pada awalnya dia berat hati untuk melakonkan babak berkenaan. Namun selepas diyakinkan oleh pengarahnya Jason Chong, Miera menyahut cabaran tersebut.

“Mulanya saya berat hati nak lakukan babak itu. Iyalah, cukuplah dengan insiden baju dulu tu kan dan saya sebolehnya tak mahu lagi kontroversi. Tapi selepas diyakinkan oleh pengarah, saya ada kekuatan untuk melakukan babak tersebut. Misalnya untuk babak di kolam renang itu, pengarah beritahu saya yang babak itu dirakamkan dari jauh (wide shot). Hanya saya dan Fizz saja yang berada di kolam sementara pengarah dan kru-kru lain hanya melihat dari atas bumbung.

“Saya tak rasa diri saya dieksploitasi. Saya anggap ia satu cabaran dan sebagai pelakon saya hanya menjalankan tanggungjawab saya seperti yang dikehendaki pengarah dan skrip”, katanya ketika ditemui pada majlis previu ‘Dendam Orang Mati’ bertempat di e@Curve, malam tadi.

Dalam filem terbitan Kru Studios itu, Miera memengang watak sebagai Min, isteri kepada Shahrul lakonan Fizz. Ini juga merupakan lakonan pertama kali Miera sebagai isteri. Namun dia tidak mempunyai masalah bergandingan degan Fizz memandang sebelum ni mereka pernah beberapa kali bekerjasama.

Begitupun, untuk babak panas itu sebagai langkah berjaga-jaga, kata Miera, dia akan memaklumkan kepada ibunya yang juga merupakan pengurusnya sebelum memasuki set untuk adegan tersebut.

“Filem ini menjalani penggambaran dua tahun lalu, ketika saya berumur 19 tahun. Waktu itu saya masih baru dalam dunia lakonan. Dapat pula watak isteri, ia satu cabaran pada saya. Tapi saya tiada masalah berlakon dengan Fizz sebab kami pernah berkerjasama beberapakali sebelum ini. Lagipun saya dan Fizz sudah seperti adik dan abang.

“Sepanjang di set pun, saya akan menghubungi ibu dahulu sebelum melakonkan babak-babak ‘daring’ itu. Dan ibu selaku pengurus saya akan pastikan tiada adegan yang keterlaluan dari segi lakonan saya. Dan lakonan itu pun banyak dilakukan dengan teknik camera trick.

“Tapi apapun saya tak boleh menutup mulut orang. Untuk lakonan sebegitu, saya boleh katakan ia adalah lakonan paling ‘daring saya dan biarlah ia jadi lakonan pertama dan terakhir saya untuk aksi seperti itu”, katanya yang sudah bersedia dengan apa jua kritikan.

‘Dendam Orang Mati’ diterajui oleh Lisa Surihani yang memengang watak sebagai Lena. Filem ini mengisahkan misteri Lena yang tersedar dari koma selama dua tahun dan hilang ingatan akibat kemalangan. Keadaan bertambah mengelirukan apabila diperkenalkan kepada isteri baru Sharul, Min di falt lamanya di tingkat 4 yang kini menjadi tingkat 3A.

Lena mula mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku di flat tersebut ekoran berlakunya beberapa kejadian aneh dan menyeramkan. Gangguan seram tersebut sekaligus memberi tekanan terhadap Lena yang terasa diabaikan oleh suaminya, Sharul yang berbelah bahagi antara isteri mudanya dan Lena.

Filem ini bakal menjengah seluruh pawagam tanah air mulai 23 Oktober 2014.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.