Masalah Banjir Di Kajang Dijangka Berkurangan

Kajang – Masalah banjir yang sering melanda Kajang dijangka berkurangan pada masa hadapan ekoran proses penambahbaikan dilaksanakan pihak berkuasa secara berterusan di kawasan terbabit, sejak beberapa tahun lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Hulu Langat banyak menjalankan kerja pembaikan dan naik taraf kemudahan di bandar itu dan apa yang berlaku ketika ini  jauh berbeza berbanding sebelumnya.

Meeting Wan Azizah isu banjir di Kajang (3)“Proses ini berterusan dan keadaannya jauh lebih baik berbanding 2011. Banjir kilat yang berlaku pada 29 September lalu berjaya diatasi MPKj dan pihak berkuasa lain dalam tempoh kira-kira 20 minit,” katanya selepas menghadiri mesyuarat bersama MPKj dan JPs Hulu Langat, di sini, hari ini.

Wan Azizah berkata, hasil mesyuarat itu dimaklumkan JPS Hulu Langat yang sudah menyediakan pelan tindakan bagi mengatasi masalah terbabit dan melalui beberapa fasa untuk dilaksanakan.

Katanya, perbincangan juga akan dijalankan di kalangan peniaga sekitar kawasan tebing Sungai Jerlok kerana kerja tebatan dan naik taraf sungai itu akan dilaksanakan nanti.

Meeting Wan Azizah isu banjir di Kajang (7)“Tempat tertentu terutama di selekoh belakang Plaza Kajang akan dinaik taraf dan tuan tanah sudah bersetuju untuk tujuan itu. JPS akan merangkanya, manakala MPKj meluluskan lesen dan memantau pelaksanaannya,” katanya.

Wan Azizah juga berharap masyarakat memberikan kerjasama dengan menjaga kebersihan dan membuang sampah di tempat yang sepatutnya.

Jurutera JPS Hulu Langat, Roslan Shamsuddin pula berkata, kerja penambahbaikan fasa pertama sudah berjalan iaitu lencongan sungai di Kajang ke Sungai Langat, manakala fasa dua membabitkan kerja menaik taraf jambatan di pasar Kajang.

Kira-kira jam 4.30 petang, 29 September lalu, berlaku hujan lebat mengakibatkan banjir di bandar terbabit dan kali terakhir Kajang mengalami banjir pada 2011.

Wan Azizah berkata, beliau akan mengusahakan pertemuan empat mata antara pihak pejabat ADUN Kajang, MPKj dan Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor (JPS) bagi membincangkan masalah dan penyelesaian jangka pendek dan panjang berkenaan isu banjir kilat berkenaan.  –  Selagorkini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.