Malaysia Akan Gerakkan Rundingan FTA

Milan – Malaysia berminat untuk memulakan rundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan Kesatuan Eropah (EU).

Sambil memberi isyarat itu semasa berucap pada Forum Perniagaan Asia-Eropah (AEBF) ke-14 hari ini yang menghimpunkan lebih 300 pemimpin industri dan korporat selain pemimpin negara dari Asia dan Eropah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata Malaysia menyokong kuat perdagangan bebas.

Najib berkata Malaysia aktif menggalakkan perjanjian perdagangan bebas dengan pelbagai negara, termasuk negara-negara Persatuan Perdagangan Bebas Eropah.

“Dan rundingan perjanjian perdagangan bebas antara Malaysia dan EU akan dilaksanakan,” katanya.

Najib berkata Malaysia juga aktif melaksanakan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik.

“Kami yakin (ia) mampu menggalakkan perdagangan dan mewujudkan peluang baru pekerjaan dan kekayaan,” katanya.

Najib memberitahu forum itu bahawa untuk pertumbuhan ekonomi dan pewujudan pekerjaan secara berterusan, di peringkat serantau dan global, benua Asia dan Eropah perlu bekerja bersama-sama.

Beliau menekankan kedua-dua benua memerlukan pertumbuhan dan pembangunan ekonomi mampan serta kestabilan kewangan bagi memperluas perdagangan dan pelaburan, yang hanya boleh dicapai menerusi usaha sama ekonomi.

“Kita mesti mencari kaedah baru untuk menggalakkan perniagaan kita meneroka peluang-peluang yang wujud di rantau masing-masing, sekaligus memperkukuh penyepaduan ekonomi dan pertumbuhan yang memberi manfaat bersama,” katanya.

Najib berkata firma Eropah masih penting kepada pertumbuhan dan pembangunan Asia.

Sebagai contoh, katanya syarikat EU melabur lebih US$17 bilion di Malaysia.

Najib berkata Malaysia akan terus menjadi juara dalam prinsip-prinsip tadbir urus yang baik, telus dan reformasi kawal aturan dalam negara dan sesama Asean.

“Pelabur asing diberi jaminan bahawa lebih banyak liberalisasi dan langkah memudahkan perniagaan akan dilaksanakan bagi mentransformasikan Asean menjadi lokasi perniagaan yang lebih baik,” katanya.

Najib berkata liberalisasi memerlukan pembangunan kapasiti dan pembangunan sosio-ekonomi.

Berikutan Malaysia bakal mempengerusikan Asean pada 2015, Najib berkata beliau berharap menerusi kepimpinannya, Asean akan merealisasikan Komuniti Ekonomi Asean yang akan mengubah rantau ini menjadi pasaran tunggal dan pusat pengeluaran.

Najib juga memberitahu forum itu bahawa Asean juga mengetuai perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau yang meliputi negara anggota Asean Australia, China, India, Jepun, Korea dan New Zealand.

Insentif itu melibatkan gabungan penduduk seramai 3.3 bilion, dengan keluaran dalam negara kasar sebanyak US21.4 trilion, katanya.
– See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/malaysia-akan-gerakkan-rundingan-fta-dengan-kesatuan-eropah1#sthash.FSBJ8YSE.dpuf

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.