Kerajaan Kelantan Tubuh Jawatan Kuasa Audit Royalti

Kota Bharu – Kerajaan negeri menubuh Jawatankuasa Khas Audit untuk membuat semakan berkaitan bayaran royalti oleh Petronas kepada Kelantan.

Penubuhan jawatankuasa itu diputuskan pada mesyuarat Exco kerajaan negeri pada 3 September lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, jawatankuasa itu akan diurusetia Bahagian Audit Kerajaan Negeri.

Katanya, jawatankuasa berkenaan akan dipengerusikan anggota Exco kerajaan negeri Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan dan timbalannya anggota Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan.

Katanya, penubuhan jawatankuasa itu juga akan mengkaji berkaitan Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) memandangkan ia dianggap bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Penubuhan akta itu dari segi perlembagaan negara memerlukan kajian terperinci dan bukan hanya semata-mata mahu menafikan hak-hak perairan milik kerajaan negeri,” katanya selepas persidangan Dun hari ini.

Menurutnya juga kerajaan negeri berharap kerajaan Pusat sedia bekerjasama bagi memberi ruang kepada Kelantan mendapatkan maklumat akaun Petronas mengenai bayaran royalti petroleum.

Selain itu jawatankuasa berkenaan mengkaji pertikaian sempadan perairan negeri yang menjadi asas kepada kerajaan Persekutuan menafikan hak royalti petroleum milik Kelantan.  – HD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.