Hayat Glamor Hanez Suraya Makin Pudar

Shah Alam – Nampak gayanya kerjaya lakonan Hanez Suraya makin suram apabila Rangkaian Televisyen Media Prima enggan menawarkan mana-mana artis kontroversi untuk berlakon di bawah produk stesen televisyen berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Izham berkata kemunculan artis-artis yang mempunyai kontroversi ini akan menjejaskan rating stesen televisyen itu.

Malah secara tidak langsung akan menyebabkan Media Prima sukar mendapat iklan.

“Saya tahu ada ramai artis mengadu tentang perkara ini. Tetapi perlu diingat pihak stesen televisyen ‘hidup’ berdasarkan iklan.

“Sekiranya seseorang artis itu bermasalah dan peminat pun tidak suka, ia boleh menjejaskan rating penonton. Apabila perkara itu berlaku, pihak kami pula sukar mendapat iklan,” demikian menurut Izham.

Minggu lalu Hanez meluahkan rasa terkilannya apabila syarikat penerbitan kini enggan menerimanya sebagai pelakon dan tidak memberikan peluang untuknya meneruskan kerjaya di dalam bidang seni.

Meskipun pernah menerima tawaran, Hanez mendakwa namanya sering digugurkan saat-saat akhir kerana bimbang akan memberi kesan kepada rating sesebuah drama.

Awal tahun ini, Hanez mencetuskan kontroversi apabila mempunyai hubungan cinta dengan suami orang.

Kerana enggan dipersalahkan, beliau meminta wanita berkenaan memohon maaf secara terbuka kepadanya atas alasan memfitnah dirinya sebagai punca keretakan rumah tangga pasangan berkenaan.

Rentetan itu, Hanez ditamatkan khidmat sebagai duta kepada produk kecantikan Aura White selepas dikatakan memberi impak negatif perniagaan itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.