China Sekat Laman Web BBC Akibat Ketegangan Memuncak Di Hong Kong

Shanghai – Pihak berkuasa di China menyekat laman web Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) berikutan ketegangan yang semakin meningkat di Hong Kong di antara penunjuk perasaan prodemokrasi dan polis, kata BBC dalam kenyataan.

BBC berkata, langkah itu adalah tindakan penapisan yang disengajakan. Ia tidak menyatakan sebab mengapa langkah itu diambil oleh Beijing, yang juga menyekat laman web New York Times, Bloomberg dan laman web bahasa Cina BBC.

“BBC mengecam sekeras-kerasnya sebarang usaha untuk menyekat akses bebas terhadap berita dan maklumat dan kami bantah tindakan pihak berkuasa China. Ia menunjukkan tindakan itu adalah penapisan yang disengajakan,” kata Pengarah Kumpulan Perkhidmatan Global BBC, Peter Horrocks.

Pagi ini laman web bahasa Inggeris BBC masih belum dapat diakses di China.

Di Hong Kong, polis menggunakan penyembur lada hari ini bagi menghalang penunjuk perasaan daripada menyekat jalan raya utama berhampiran pejabat ketua eksekutifnya berikutan kemarahan orang ramai terhadap tindakan polis membelasah seorang penunjuk perasaan semalam. – REUTERS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.