Suami Isteri Teruja Sambut Kelahiran Anak Pada Hari Malaysia

BATU PAHAT – Dua pasangan suami isteri di daerah ini tidak menyangka anak mereka dilahirkan pada hari penting dalam negara iaitu sempena Hari Malaysia 2019 hari ini, dengan kedua-duanya dilahirkan awal pagi ini.

Mohd Syazwan Mohd Isa, 25, berkata isterinya Noor Fatin Liyana Amat Kadim, 25, selamat melahirkan anak perempuan seberat dua kilogram di Pantai Hospital Batu Pahat pada pukul 6.09 pagi ini.

Dia yang berasal dari Rengit di sini, berkata sepatutnya isterinya itu melahirkan anak sulung mereka pada 21 Sept, namun semenjak petang semalam (15 Sept) isterinya mula mengadu sakit perut.

“Saya terus membawanya ke hospital dan doktor menjangkakan Noor Fatin akan bersalin paling awal pada 17 Sept (Selasa) tetapi anak kami ini dilahirkan awal, membawa kegembiraan dan kebanggaan kepada kami kerana dia (anak) dilahirkan bersempena Hari Malaysia.

“Disebabkan pada perancangan awal anak perempuan saya ini dilahirkan bukan pada 16 Sept, kami telah memberikan nama terlebih dahulu iaitu Nur Dinara Safiya,” katanya ketika ditemui BERNAMA di hospital berkenaan.

Sementara itu, satu lagi pasangan yang melahirkan anak di hospital yang sama, Norfendi Md Shah, 39, dan Juliana Abd Rahim, 39, turut tidak menyangka kelahiran anak keempat mereka adalah pada 16 Sept.

Kata Norfendi, yang berasal dari Taman Banang Height di sini, anak lelaki bongsunya lahir pada pukul 6.19 pagi, seberat tiga kilogram.

“Walaupun pada asalnya anak saya ini sepatutnya dilahirkan pada 22 Sept, namun tetap bersyukur kerana ia selamat dilahirkan pada hari ini, malah berbangga kerana berkongsi tarikh dengan Hari Malaysia.

“Berkenaan dengan namanya pula kami masih merancang untuk meletakkan nama yang sesuai, tetapi akan meletakkan Muhammad di hadapannya… kami merancang untuk menyambung nama Muhammad dengan nama tokoh negara,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Operasi Pantai Hospital Batu Pahat Dr. Kamal Amzan berkata pihaknya berbesar hati dapat berkongsi kegembiraan dua pasangan berkenaan dalam meraikan kelahiran anak masing-masing

“Adalah menjadi tradisi hospital untuk meraikan hari-hari istimewa bersama pesakit, terutamanya ketika kelahiran bayi pada tarikh-tarikh tertentu,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.