Pelajar MCKK Cipta Peranti Inovatif Anti Dera Kanak-Kanak

KUALA LUMPUR – Siapa sangka pelajar berusia 14 tahun boleh membangunkan peranti inovatif yang mungkin dapat menangani isu sejagat seperti penderaan kanak-kanak dan pencegahan strok haba.

Pelajar Tingkatan 2 Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Ariff Amir Ali, kini bekerja keras untuk menyiapkan rekaannya itu, sebuah prototaip untuk membantu membendung kes penderaan kanak-kanak dan strok haba.

Menurut Ariff, penyiaran berita tentang insiden kurang menyenangkan itu memberi dorongan kepadanya untuk cuba mencari penyelesaian, yang membawa kepada penciptaan 2 peranti prototaip, iaitu Projek H (penderaan kanak-kanak) dan Projek H 2.0 (strok haba).

“Peranti anti penderaan berfungsi sebagai peranti amaran kecemasan, yang mana apabila kamu menjerit kepadanya, peranti itu akan menyalurkan amaran kepada pihak berkuasa dan orang tersayang dalam masa 3 saat.

“Sementara itu, peranti anti strok haba pula akan dilengkapi sensor denyutan jantung dan sensor suhu, kamu perlu melilitkannya di sekeliling lengan untuk mengesan kelesuan haba,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada #mydigitalmaker Fair 2019 baru-baru ini.

Menurut Ariff, kedua-dua prototaip itu yang diciptanya dalam masa kurang dari setahun menggunakan teknologi Internet Benda (IoT), merupakan rekaan berbentuk sarung mirip jam tangan pintar dan ketika ini sedang diperincikan.

“Terdapat kemungkinan saya akan menggabungkan kedua-dua prototaip ini, memasukkan lebih banyak ciri dan mencipta peranti keselamatan semua dalam satu di masa depan,” katanya.

Menegaskan idea inovatif itu diperolehnya menerusi pembacaan teliti, Ariff berkata dia menyepadukan pelbagai kemahiran pembuatan digital dalam mereka cipta prototaip itu seperti pengekodan, pengaturcaraan, reka bentuk kejuruteraan dan pemikiran komputasional.

Antara pencapaian cemerlang yang diraihnya termasuk naib juara “World of Robotic Championships”, tempat pertama dalam Intel Aspire Minds Challenge dan pingat perak bagi Asian Youth Innovation Award.

Anak kelahiran Kuala Lumpur ini mendedahkan minat mendalamnya terhadap pengekodan dan robotik mula berputik sejak dia berada di Tahun 4 melalui penyertaan dalam kem robotik, anjuran sekolahnya, dan Digital Ninja di bawah program #mydigitalmaker Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.