25 Sekolah Di Putrajaya Ditutup Esok Jika Bacaan IPU Jerebu Sangat Tidak Sihat

PUTRAJAYA – Sesi persekolahan 25 sekolah dalam Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan akan ditangguhkan esok sekiranya Indeks Pencemaran Udara (IPU) terus melebihi bacaan 200 atau status sangat tidak sihat.

Timbalan Pengarah (Perancangan) Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Dr. Roslan Hussin memaklumkan, berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, sekolah boleh ditutup sekiranya bacaan IPU melebihi 200.

Katanya, terdapat 11 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan 14 Sekolah Kebangsaan (SK) di dalam Putrajaya.

“Pengumuman akan dikeluarkan dari masa ke semasa dengan berdasarkan kepada keperluan dan rujukan asas kepada pelan ini. Sebarang keputusan bergantung kepada bacaan esok.

“Sebarang perkembangan lanjut, kami akan maklumkan kepada semua,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sehingga pukul 11 pagi, bacaan IPU Putrajaya telah mencapai tahap sangat tidak sangat iaitu pada bacaan 202.

Menurut laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), tahap IPU itu telah meningkat daripada bacaan 188 iaitu tahap tidak sihat pada pukul 3 pagi tadi.

Keadaan itu telah menyebabkan pemandangan seluruh Putrajaya tertambah kabur termasuk sekitar Bangunan Perdana Putra dan Masjid Putra.

Situasi sama juga berlaku di Istana Kehakiman, Dataran Putrajaya dan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.