Wanita Hilang Jari Kaki Lepas Jalani Rawatan Spa Ikan

PERTH – Seorang wanita berusia 29 tahun kehilangan kelima-lima jari kaki kanan gara-gara dijangkiti sejenis kuman pemakan tulang selepas menjalani rawatan spa ikan ketika bercuti di Thailand.

Kejadian pada tahun 2010 itu berlaku apabila Victoria Curthoys mencuba rawatan popular itu yang didakwa mampu melancarkan aliran darah dan menghilangkan sel-sel kulit mati.

“Sejurus saya pulang ke tanah air, saya tidak berasa sakit menyebabkan saya tidak menyedari ada kesan luka. Namun malangnya, jangkitan kuman itu telah merebak sehingga ke dalam tulang menyebabkan doktor terpaksa memotong sebahagian jari kaki,” katanya.

Semasa berusia 17 tahun, ibu jari kaki kanannya terpaksa potong selepas dijangkiti kuman akibat terpijak kaca.

Malangnya, baki jarinya yang lain juga terpaksa dipotong secara berperingkat bermula tahun 2012 sehingga 2017 gara-gara doktor terpaksa mengambil masa dua tahun untuk mengesahkan jari kaki Curthoys dijangkiti kuman shewanella.

Lazimnya, bakteria shewanella mudah ditemui di dalam air, makanan dan sisa kumbahan, namun jarang menjangkiti manusia. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.