Protes Di Hari Malaysia, Lapan Aktivis Di Sabah Diberkas

KOTA KINABALU: Lapan aktivis diberkas ekoran mengadakan protes di Gaya Street di sini pagi tadi, ketika sambutan Hari Malaysia.

Memetik laporan The Malay Mail, salah seorang aktivis yang diberkas itu, Mukmin Nantang, mendakwa pihak polis bertindak agresif walaupun peserta himpunan sudah mahu bersurai. 

Kesemua lapan aktivis itu dibawa ke Balai Polis Karamunsing untuk diambil keterangan. 

Terdahulu, himpunan yang diadakan pada jam 9.00 pagi itu dianjurkan oleh beberapa kumpulan pelajar termasuk Gagasan Mahasiswa Merdeka dan disertai hampir 100 peserta.

Pengerusi Bersih Sabah, Beverly Joeman berkata himpunan tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran dan mendesak kerajaan untuk melihat dan menyelesaikan 10 isu yang dihadapi negeri berkenaan.

Ini termasuk isu pendidikan, kemiskinan, tanah asli, kewarganegaraan, perumahan, keselamatan, persekitaran dan peluang pekerjaan, kata Joeman.

Beliau turut menggesa pihak polis untuk membebaskan lapan aktivis berkenaan secepat mungkin.

Sementara itu Ketua Polis Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata kesemua aktivis itu akan dibebaskan sebaik sahaja kenyataan mereka diambil.

Habibi juga berkata siasatan akan dijalankan bersabit tuduhan bahawa polis menggunakan kekerasan semasa melakukan penangkapan tersebut. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.