PPBM Tidak Berhak Halang Rafizi Berkempen Di PRK Port Dickson

PORT DICKSON – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Port Dickson tidak berhak menghalang mana-mana pemimpin dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk berkempen dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

Perkara itu ditegaskan Ketua Ranting PKR Kuala Lukut, Farouk Arbae yang membidas kenyataan Bersatu bahagian itu melarang Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid datang berkempen kerana mereka pernah mengkritik pemimpin Bersatu.

Dia berkata, kenyataan yang dikeluarkan Ketua Penyelarasnya, Ramli Awang semalam adalah tidak berasas dan ia tidak mewakili pendirian semua ahli Bersatu di Port Dickson.

“Oleh itu, kami meminta kenyataan yang berbaur hasutan dan mahu mensabotaj PRK Parlimen Port Dickson dengan cara tidak keluar mengundi sekiranya Rafizi dan Abdullah Sani datang berkempen ditarik balik.

“Ia tidak wajar kerana Abdullah Sani telah memohon maaf kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin berhubung kenyataannya sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Ramli semalam menggesa Rafizi dan Abdullah Sani tidak datang ke berkempen bagi Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa PRK Parlimen Port Dickson kerana pernah mengeluarkan kenyataan tidak berasas terhadap Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu dan Daim.

Abdullah Sani sebelum ini mendakwa Mahathir bersama Daim dan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berpakat untuk menghalang pelan peralihan kuasa yang dipersetujui parti komponen Pakatan Harapan bagi melantik Anwar sebagai Perdana Menteri.

Rafizi pula pernah mengkritik Dr. Mahathir berhubung pelantikan ahli Kabinet kanan yang baginya dibuat tanpa penyertaan PKR.

Dalam pada itu, Farouk berkata, sekiranya berlaku sebarang unsur khianat atau halangan ke atas kempen yang dijalankan pada PRK akan datang, PKR Ranting Kuala Lukut tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang. – Kosmo!

One thought on “PPBM Tidak Berhak Halang Rafizi Berkempen Di PRK Port Dickson

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.