Parti Gerakan Catat Prestasi Buruk, Mah Siew Keong Letak Jawatan Sebagai Presiden

SEREMBAN – Datuk Seri Mah Siew Keong secara rasminya mengumumkan perletakan jawatannya sebagai presiden Gerakan, hari ini.

Menurut Mah, keputusan tersebut diambil susulan prestasi buruk parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lepas yang gagal memenangi sebarang kerusi Parlimen.

Mah sebelum ini penyandang kerusi Parlimen Teluk Intan yang dimenangi ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 2014.  

Beliau bagaimanapun gagal mempertahankan kerusi tersebut pada PRU-14 apabila tewas di tangan calon Pakatan Harapan, Nga Kor Ming. 

“Tiga atau empat bulan lepas saya mendapat banyak rayuan daripada anggota parti supaya terus kekal sebagai presiden, namun saya sebagai kapten telah berjanji jika keputusan parti lebih teruk dari dahulu, maka saya akan letak jawatan.

“Saya ucap terima kasih pada semua (anggota parti) dan hari ini secara rasmi saya tidak akan teruskan (memegang jawatan) sebagai presiden,” katanya selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Gerakan Negeri Sembilan ke-43 di Wisma Gerakan di sini.

Pada PRU14, Gerakan kalah kesemua 11 kerusi Parlimen dan 31 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya.

Gerakan yang telah menjadi parti bebas selepas mengumumkan keluar daripada Barisan Nasional (BN) pada 23 Jun lepas, akan memiliki presiden baharu selepas ini.

“Kita akan ada pemimpin baharu. Saya telah mengetuai parti Gerakan dan mesti ambil tanggungjawab walaupun ramai yang kata ini bukan salah kita, tetapi sebagai presiden mesti ambil tanggungjawab,” katanya.

Mah berkata Gerakan yang kini dalam proses pemilihan parti perlu mengekalkan pemimpin lama dan digabungkan sekali dengan yang baharu bagi memastikan ia dapat dibangunkan semula. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.