Muktamar PAS Lulus Tanpa Bahas Usul Satukan Politik Islam-Melayu

KUALA NERUS: Muktamar PAS hari ini meluluskan tanpa bahas usul agar parti itu menerajui usaha ke arah penyatuan politik Islam-Melayu di negara ini. 

Usul yang dibawa oleh Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) bertajuk ‘Kesatuan Umat’ menyatakan usaha ke arah itu perlu diperkukuhkan kembali, selain PAS perlu mengekang politik anasir tidak sihat yang menjejaskan keharmonian politik dan masa depan agama, rakyat dan negara.

Menurut DPPP juga, wujud gelombang perubahan dan kesedaran rakyat terhadap politik serta tuntutan massa yang memerlukan PAS segera bertindak untuk memimpin.

“Kita memperakui Perlembagaan meletakkan Islam sebagai agama rasmi negara yang menjadi punca kuasa dan penentu kelangsungan pembinaan serta masa depan dan keharmonian pelbagai kaum.

“DPPP menginsafi betapa sejarah sentimen perkauman dan agama secara salah telah menatijahkan ketidaktenteraman serta sengketa yang mesti dihindari.

“Kita juga kesal dengan ancaman terhadap tonggak utama negara iaitu Islam, Raja-Raja Melayu, tanah rizab Melayu, bahasa Melayu dan kerakyatan oleh Pakatan Harapan (PH) yang dibayangi agenda DAP,” katanya.

Sungguhpun tidak menyatakan secara spesifik, usul berkenaan dilihat cenderung merujuk kepada kerjasama PAS-Umno dalam perkara yang memanfaatkan kedua-dua pihak.

Muktamar turut meluluskan usul bersama Dewan Ulama dan Dewan Muslimat supaya aqidah dan kedudukan Islam di negara ini dipertahan daripada tindakan jahat segelintir pihak yang cuba mengikis serta melemahkan kedudukan Islam.

Kedua-dua sayap berkenaan menegaskan, kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat bersikap lunak terhadap anasir liberal sekular dan menentang Islam.

“Dengan menularnya fahaman syiah, pelbagai ajaran sesat dan amalan khurafat serta syirik dibawa ke dalam masyarakat Islam hari ini.

“Gejala ini dilihat subur dan merebak melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang kononnya menjadi pembela hak asasi dan agama.

“Kelompok ini berjaya menduduki strategi di negara ini manakala masyarakat Islam dilihat seakan tidak kisah dengan budaya melampau walaupun ia dilihat semakin meruncing dalam kalangan masyarakat Islam khususnya Melayu,” demikian menurut usul itu.

Dalam pada itu, Dewan Ulama juga menggesa kerajaan menyelesaikan masalah berkaitan rakyat termasuk isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) berasaskan prinsip Islam.

“Kerajaan perlu segera menamatkan pendaftaran NGO yang menjalankan aktiviti menyuburkan fahaman bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya.

Empat lagi usul yang diluluskan tanpa bahas ialah usul Task Force untuk Malaysia Timur, usul memantapkan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), usul pengiktirafan untuk sekolah agama dan mengukuhkan Gagasan Sejahtera.

Hari ini merupakan hari terakhir Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-64 yang berlangsung sejak Khamis lalu bertempat di Stadium Tertutup Gong Badak. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.