Tweet Trump Tidak Membantu Siasatan, Kata PM Britain

Perdana Menteri Britain, Theresa May berkata pada hari Jumaat bahawa sebarang spekulasi tidak membantu siasatan, selepas Presiden AS Donald Trump menulis di tweet bahawa suspek di sebalik pengeboman kereta api di London adalah “dalam pengetahuan” pihak polis.

Tidak lama selepas 22 orang cedera dalam serangan ke atas kereta api bawah tanah yang sibuk di barat London, Trump menulis tweet yang dilihat menuding jari kepada pihak polis Britain.

Ditanya sama ada Trump tahu sesuatu yang Britain tidak tahu, May berkata: “Saya tidak pernah fikir ia membantu sesiapa pun untuk membuat spekulasi mengenai apa yang sedang disiasat.”

Manakala bekas ketua kakitangan May, Nick Timothy, pula berkata komen Trump itu “tidak membantu, yang datangnya dari seorang pemimpin sekutu dan rakan perisikan kita”.

London dan Washington selama ini berbangga dengan “hubungan istimewa” mereka, hubungan rapat yang terjejas awal tahun ini apabila Amerika Syarikat membocorkan maklumat mengenai penyiasatan terhadap seorang pengebom yang membunuh 22 orang semasa satu konsert pop di0 Manchester.

Trump memberitahu wartawan selepas tweetnya itu bahawa dia telah diberi taklimat mengenai insiden di London itu, dan dia juga berkata akan bercakap dengan May, walaupun tidak jelas sama ada ia menyentuh rujukannya terhadap Scotland Yard.

Seorang pegawai kanan kerajaan AS menimbulkan keraguan sama ada Trump mempunyai maklumat mengenai sama ada pengebom dalam serangan di barat London dikenali atau tidak.

Pegawai itu berkata pada ketika ini, agensi-agensi AS tidak mempunyai sebarang maklumat untuk menyokong sebarang tanggapan Trump bahawa Britain mendapat amaran awal atau risikan khusus mengenai serangan itu.

Dalam mesyuarat Rumah Putih menjelang mesyuarat Perhimpunan Agung PBB minggu depan, penasihat keselamatan Trump, HR McMaster, berkata presiden merujuk secara umum kepada usaha British untuk memerangi keganasan dan tidak membuat rujukan kepada sebarang pengetahuan yang mungkin telah diperolehi oleh pihak berkuasa di London.

“Saya fikir dia bermaksud secara amnya bahawa aktiviti semacam ini adalah apa yang kita cuba halang, dan begitu juga dengan organisasi-organisasi ini yang dipertanggungjawab mengenainya, apa pun hasil siasatan ini, tunggu dan lihat,” kata McMaster.

 

Beberapa jam selepas tweet Trump, Sky News memetik sumber-sumber keselamatan sebagai berkata mereka telah mengenal pasti suspek dalam serangan itu, dengan bantuan rakaman pengawasan.

– Reuters

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.