Tempelak Bekas PM, Najib Kata kerajaan Sedia Tambah Jumlah SJKC

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini ditempelak kerana gagal memberi kelulusan kepada pembinaan lebih banyak Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) semasa pentadbirannya.

Bercakap di hadapan lebih 15,000 komuniti Cina dalam Perhimpunan Patriotik Masyarakat Cina di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata ia berbeza dengan beliau.

“Saya jadi shou xiang (perdana menteri) hanya untuk tempoh sembilan tahun, tetapi sudah luluskan peruntukan lebih banyak berbanding pemimpin yang menerajui negara selama 22 tahun,” kata Najib disambut tepukan gemuruh.

Walaupun tidak menyebut nama Mahathir, tetapi beliau jelas merujuk kepada bekas perdana menteri itu, yang kini menjadi pengerusi Pakatan Harapan.

Justeru, kata Najib, atas keprihatinan beliau kerajaan sedia meluluskan pembinaan lebih banyak SJKC di kawasan pertumbuhan baharu.

Namun, kata Najib, kelulusan itu harus disertai dengan ikrar komuniti kaum Cina untuk mempertingkatkan penguasaan Bahasa Melayu.

“Saya akan jadikan permintaan ini kenyataan (membina lebih banyak SJKC di kawasan pertumbuhan baharu).

“Satu yang saya minta adalah teguhkan kemahiran penguasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan apabila jumlah SJKC ditambah,” kata Najib.

Najib berkata, prasyarat itu bagi memastikan penguasaan Bahasa Melayu (BM) dalam kalangan masyarakat Cina tidak ketinggalan, khususnya ketika mengendalikan urusan rasmi.

“Dulu, bila saya jadi menteri besar Pahang, ada wakil rakyat dari masyarakat Cina yang tidak mampu menguasai kemahiran bertutur dalam BM.

“Janganlah guna perkataan ‘gua’ dan ‘lu’ dalam urusan rasmi, sehingga tersasul menyebut Ke Bawah ‘Luli’ Tuanku.

“Kemahiran berkomunikasi adalah ramuan perpaduan di Malaysia, justeru sahut saranan ini seiring kesediaan kerajaan menambah pembinaan SJKC,” kata Najib.

Tambah Najib yang juga pengerusi BN, pertimbangan itu akan diperhalusi pada mesyuarat antara parti komponen dalam tempoh terdekat.

Ketika menyentuh soal pembangunan negara, Najib berkata, kerajaan sedar mengenai dua kehendak masyarakat Cina, iaitu peluang ekonomi dan pendidikan berkualiti.

Bagaimanapun, katanya, kehendak itu hanya mampu dipenuhi jika negara berada dalam keadaan yang harmoni dan aman, selain mempunyai kestabilan sistem pemerintahan.

“Oleh itu, suarakan sokongan masyarakat Cina kepada BN untuk kita terus membangun secara bersama, berbanding termakan dengan dakyah pembangkang yang bertali arus mempertikaikan usaha kerajaan.

“Prinsip pembangkang mudah, iaitu jika gagal yakinkan pengundi, mereka akan kelirukan minda anda supaya tidak mampu tentukan pihak mana yang betul dan salah.

“BN adalah kerajaan yang mengamalkan konsep kesederhanaan, progresif dan adil, justeru terjemahkan kepercayaan anda untuk kita maju bersama,” katanya.-MAlaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.