Tahfiz: Siasatan Polis Termasuk Unsur Khianat

Siasatan polis terhadap kebakaran di pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di sini, yang mengorbankan 21 pelajar dan dua guru semalam, dibuat dengan menyeluruh meliputi semua sudut termasuk unsur khianat.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata siasatan forensik masih dijalankan dan selepas laporan penuh mengenainya diperoleh, siasatan dibuat merangkumi pelbagai aspek termasuk perbuatan khianat.

Setakat ini, katanya, polis mengklasifikasikan semua mangsa mati mengejut sehinggalah laporan penuh forensik dikeluarkan.

“Sabar dan tunggu laporan (forensik). Kita perlukan laporan rasmi sebelum beralih ke peringkat berikutnya,” katanya kepada pemberita selepas majlis Serah Terima Tugas Pengarah Cawangan Khas, Narkotik dan Siasatan Jenayah di Bukit Aman hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan siasatan polis berhubung tragedi di pusat tahfiz itu yang terletak di Jalan Keramat Ujung.

Mohamad Fuzi berkata pihaknya juga akan mengambil keterangan pemilik tahfiz, tenaga pengajar dan mangsa yang cedera dalam masa terdekat.

“Ini merupakan prosedur biasa dalam setiap kes dan polis akan menyiasat perkara ini dengan secepat mungkin,” katanya.

Dalam kejadian 5.15 pagi semalam, 23 orang termasuk dua guru yang juga warden pusat tahfiz itu terkorban dalam kebakaran yang memusnahkan seluruh tingkat paling atas bangunan tiga tingkat berkenaan.

Enam pelajar lain dan seorang awam turut cedera.

Identiti kesemua mangsa itu telah dikenal pasti hari ini melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Terdahulu, pada majlis itu, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff dilantik sebagai Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh dilantik sebagai Pengarah Narkotik Bukit Aman manakala Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.