Shahir Bimbang Buka Pendakap Gigi

KUALA LUMPUR: Hampir sembilan tahun memakai pendakap gigi, Shahir Zawawi, 29, mengakui belum bersedia menanggalkannya kerana bimbang tindakan itu akan mengganggu persembahannya.

Juara program realiti Akademi Fantasia (AF) musim kelapan itu berkata, dia enggan mengambil risiko itu terutama ketika sedang bersaing dalam program realiti terbaru, AF Megastar.

“Sudah lama sebenarnya saya memakai pendakap gigi hingga sering ditanya bila saya mahu membukanya. Antara faktor yang membuatkan proses itu tertangguh apabila saya sering bertukar-tukar doktor gigi.

“Hampir sembilan tahun memakainya, ia seperti sudah sebati dengan diri. Saya belum terfikir untuk membukanya dalam masa terdekat ini, terutama apabila membuat keputusan untuk bersaing dalam AF Megastar.

“Saya bimbang jika membukanya, nanti ia akan mengganggu sebutan dan cara nyanyian. Selama ini, saya tidak menghadapi sebarang masalah ketika membuat persembahan. Jadi, biarlah dulu kerana lambat-laun, saya pasti akan menanggalkannya juga,” katanya.

Ahad lalu, Shahir diumumkan sebagai antara 12 finalis yang layak meneruskan perjuangan mereka dalam AF Megastar. Pada pusingan pemilihan itu, Shahir menyanyikan lagu popularnya, Kebahagiaan Dalam Perpisahan.

Mereka terpilih daripada 24 peserta yang bertanding pada peringkat Konsert AF Megastar Homecoming yang disiarkan secara langsung di Royal Theatre Shah Alam.

Persembahan peserta dinilai dua juri tetap iaitu pengarah muzik terkenal, Datuk Ramli MS dan penyanyi serta pensyarah muzik, Syafinaz Selamat selain juri jemputan, Ziana Zain.-BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.