Saya Sudah Puas Dimanipulasi – Joy Revfa

KUALA LUMPUR: Isteri Hafiz Hamidun, Joy Revfa atau nama sebenarnya, Siti Arifah Mohd Amin, 30, memohon penyanyi itu supaya tidak terus memanipulasi namanya menerusi kenyataan di media.

Joy sebaliknya, meminta Hafiz supaya terus fokus kepada permohonan faraq nikah (perpisahan sementara) kerana mahu urusan itu diselesaikan secara baik.

“Keputusan sama ada pernikahan kami sah atau terbatal, biar mahkamah yang tentukan. Tuntutan saya itu jelas. Ini cara penyelesaian terbaik dan tiada jalan lain. Saya sudah puas dimanipulasi oleh Hafiz,” katanya dalam satu kenyataan media kepada BH Online.

Terdahulu, Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada Khamis lalu menangguhkan permohonan faraq nikah yang difailkan Joy terhadap Hafiz pada 18 Ogos lalu.

Susulan itu, Hafiz, 33, memberi amaran kepada Joy supaya mengambil serius permohonan itu. Penyanyi itu berkata, sikap sambil lewa Joy terhadap kes itu menyebabkan banyak masalah lain timbul.

Menerusi kenyataan yang sama, Joy meluahkan rasa kesal apabila mendakwa, Hafiz bertindak seolah-olah memusuhinya sedangkan sejak awal lagi, dia cuba merahsiakan kemelut yang melanda rumah tangga mereka.

“Netizen mula menghidu sesuatu yang tidak kena dalam hubungan kami selepas Hafiz mendakwa, saya menyekatnya dan gambar saya juga dihapuskan di Instagram beliau.

“Selama ini, hanya saya berusaha menyembunyikan keadaan supaya netizen tidak tahu kami tidak lagi ‘sebumbung’. Sebagai isteri, saya ingin menjaga nama baiknya yang membawa imej ustaz walaupun hati saya sakit kerana diabaikan dan dibiarkan begitu saja,” katanya.

Joy juga mendakwa, Hafiz mungkin mengharapkan sesuatu daripada pernikahan mereka, tetapi tidak tercapai.

“Saya faham mengapa Hafiz begitu emosi dan menjauhkan diri, malah membuat pengakuan pernikahan kami tidak sah sedangkan perkara itu belum ditentukan mahkamah,” katanya.

Joy berkata, dia yakin pasti ada sebab mengapa Allah memilihnya untuk berdepan ujian itu dan sentiasa percaya dengan qada’ dan qadar.

“Apa yang terjadi bukan kebetulan, sebaliknya ketentuan daripada Allah. Saya pasti akan hadir hikmah terindah nanti dan ketika ini, saya hanya mampu berserah serta pasrah,” katanya.

Joy dan Hafiz diijabkabulkan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Shah Alam, pada 1 Mei lalu, namun membuat permohonan membubarkan pernikahan selepas penyanyi itu meragui status perkahwinan mereka.-Bharian

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.