Pembelian Pesawat Boeing MAS Tidak Guna Duit Rakyat – KSN

PUTRAJAYA – Ketua Setiausaha Perbendaharaan Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata pembelian pesawat penumpang Boeing oleh Malaysia Airlines yang bernilai berbilion dolar seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump tidak menggunakan duit rakyat.

“Tidak melibatkan duit rakyat,” katanya ketika ditanya mengenai pembelian itu hari ini.

Beliau berkata panel pakar teknikal MAS sudah menilai urusjanji yang dibuat syarikat itu selain memastikan perkhidmatan syarikat penerbangan itu disampaikan dengan cekap.

“Mereka perlukan pesawat baharu, sama ada Airbus atau Boeing. Ada panel pelaburan dan mereka sudah membuat penilaian ke atas pelan jangka masa sederhana dan panjang untuk MAS,” katanya kepada pemberita.

“Ada pesawat yang akan dibeli. Bukan sesuatu yang luar biasa,” tambahnya.

Irwan mengulas rancangan pembelian 25 pesawat Boeing 727 dan 8 pesawat 787 Dreamliners, dan 25 pesawat 727 pada masa depan.

Najib mengumumkan pembelian itu semasa pertemuan dengan Trump di Rumah Putih 12 September lepas. Perdana menteri berkata urusjanji itu akan bernilai lebih AS$10 bilion (RM42 bilion) dalam masa 5 tahun.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi pada 13 September lepas memberitahu FMT industri penerbangan Malaysia mengalami pertumbuhan dan pembelian dari AS itu akan memberi lonjakan yang membolehkan ia memanfaatkan peluang baharu daripada perjalanan yang menguntungkan, terutamanya ke China dan Eropah.

Beliau berkata MAS antara lain boleh membiayai pembelian itu, seperti membuat pajakan daripada Penerbangan Malaysia Berhad (PMB), yang ditubuhkan pada 2002 untuk menyediakan perkhidmatan penerbangan di negara ini.

PMB terbabit dalam pemerolehan, pembelian dan pajakan pesawat dan enjin pesawat, pegangan pelaburan dan pemilikan syarikat penerbangan domestik.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata pembelian pesawat Boeing oleh Malaysia Airlines bukan perkara baharu.

“Pada Julai 2016, MAS dilaporkan menandatangani perjanjian untuk membeli lebih 50 pesawat Boeing 737 MAX, dengan tempahan untuk 25 pesawat, dan hak untuk membeli 25 pesawat lagi dalam perjanjian bernilai AS%5.5 bilion,” katanya.

“Begitu juga pada Ogos 2017, media melaporkan hasil kejayaan penstrukturan MAS dan pertumbuhan semasa, MAS dalam rundingan untuk membeli 30 lagi pesawat Boeing 786 atau Airbus yang akan membolehkan MAs meluaskan perjalanan dan perniagaannya,” tambahnya. – Fmt

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.