Pasangan Ditangkap Terdesak Beli Anak Selepas Gagal Miliki Anak Lelaki

Beijing – Satu pasangan yang terdesak untuk memiliki anak lelaki selepas mempunyai tujuh anak perempuan ditangkap selepas membeli seorang bayi lelaki.

Pasangan berkenaan kini dibicarakan di mahkamah selepas membeli bayi berusia sebulan itu yang diculik sindiket perdagangan manusia sebelum dijual kepada mereka.

Dalam satu wawancara dengan Meizhou TV, pasangan yang berasal dari Shantou di wilayah Guangdong itu memberitahu, mereka mahukan anak lelaki yang boleh membawa nama keluarga mereka.

“Bagaimanapun, semua tujuh anak kami perempuan yang berusia antara dua hingga 18 tahun.

“Kerana terdesak kami memutuskan untuk membeli anak lelaki,” kata suami yang dikenali sebagai Chen.

Pasangan itu kemudian bertemu satu keluarga yang kononnya mahu menjual anak lelaki mereka di daerah Fengshun.

Selepas membayar yuran pemakanan 90,000 yuan (RM57,630) kepada seorang lelaki dikenali sebagai Wang, pasangan itu membawa bayi berkenaan pulang ke rumah.

Beberapa hari kemudian, polis menangkap pasangan berkenaan kerana membeli bayi lelaki yang diculik oleh sindiket perdagangan manusia.

Pasangan berkenaan bersama beberapa individu lagi kini didakwa di mahkamah dan perbicaraan mereka masih berlangsung.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.