Noh Arah Bomba Periksa Semua Tahfiz Di Setiap Daerah

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar mengarahkan Jabatan Bomba dan Penyelamat menjalankan pemeriksaan di semua pusat tahfiz agar menepati aspek keselamatan.

“Saya telah arahkan bomba di setiap daerah untuk memeriksa semua tahfiz supaya menepati aspek keselamatan berdasarkan apa yang termaktub dalam Akta Bomba,” kata Noh dalam Facebooknya hari ini.

Perkara ini timbul selepas kejadian kebakaran melibatkan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah pada awal pagi semalam yang mengorbankan 21 pelajar dan dua orang warden.

Semalam Noh memberitahu, pusat tahfiz yang terletak di Jalan Keramat Hujung itu tidak memiliki sijil kelayakan menduduki bangunan selain telah diubah suai daripada struktur asal.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid pula mencadangkan pembentukan jawatankuasa yang melibatkan kedua-dua kerajaan antara persekutuan dan negeri untuk penyelarasan sekolah tahfiz di seluruh negara.

Menurut Mahdzir, jawatankuasa berkenaan akan bertanggungjawab bagi menyelaraskan pendaftaran pelajar dan mengetatkan pemantauan serta keselamatan di sekolah tahfiz di peringkat negeri.

 

Perkara itu bagaimanapun perlu mendapat persetujuan Yang di-Pertuan Agong dan sultan selaku ketua agama Islam di negeri masing-masing.

“Marilah kita sama-sama ambil iktibar agar perkara sebegini tidak berulang.

“Bila ada kejadian seperti ini berlaku, tidak perlu segera menuding jari kepada sesiapa tetapi lihat kepada kejadian ini terutama kepada kebajikan mangsa dan keluarga mereka,” kata Mahdzir di Facebooknya.-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!