JPA Disaran Kaji Tangga Gaji Tenaga Pakar Sektor Kesihatan

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) diminta mengkaji semula tangga gaji tenaga pakar dalam sektor kesihatan bagi mengelakkan kehilangan khidmat golongan profesional ini berhijrah ke negara lain.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tindakan itu perlu bagi mengelakkan kekurangan tenaga mahir dalam negara kerana pendapatan lumayan diberikan oleh luar negara berbanding di negara ini.

Jelas beliau, kerajaan telah membelanjakan begitu banyak wang untuk perbelanjaan latihan dan pendidikan lanjutan mereka sedangkan negara berkenaan tidak pun melabur untuk latihan kepakaran lanjutan bidang tertentu untuk rakyat mereka.

“Saya lihat sudah tiba masanya pihak JPA melihat skim dan struktur gaji profesional bidang berketrampilan utuk mengelakkan berlakunya masalah kehilangan tenaga kita ke luar Malaysia.

“Walaupun kita tahu ia melibatkan pelbagai sektor lain perkhidmatan awam, tetapi untuk bidang perubatan kita tak mahu kehilangan ke luar negara,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Program Kesihatan Pergigian Warga Kolej Komuniti “Transformation With 1Smile Together’ (TW1ST) Peringkat Kebangsaan 2017 di Sekolah Menengah Sains Bagan Datuk di Bagan Datuk hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.
Program TW1ST bertujuan meningkatkan pengetahuan warga kolej komuniti tentang kepentingan amalan penjagaan kesihatan pergigian dan seterusnya menjadi ejen perubahan serta suri teladan kepada golongan belia lain.

Ahmad Zahid yang juga Anggota Parlimen Bagan Datuk berpendapat Malaysia berpotensi besar dalam pelancongan kesihatan yang digalakkan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, kerana kemudahan dan kos perkhidmatan yang dikenakan jauh lebih rendah berbanding negara lain dalam rantau Asia.

“Kemudahan hospital pakar (dalam negara) adalah sama piawaian dengan negara lain. Saya fikir Malaysia punyai potensi cukup tinggi dalam pelancongan kesihatan dan kekalkan tenaga pakar kita supaya boleh berikan pulangan,” katanya.

Justeru itu, beliau meminta dan menyerahkan kepada kebijaksanaan ketua pengarah JPA untuk mengatasi masalah penghijrahan tenaga profesional bekerja di luar negara.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.