Hari Malaysia: Lebih 3,500 Rakyat Sertai Solidariti WeMalaysia 2017

KUALA LUMPUR – Lebih 3,500 rakyat Malaysia di 87 buah bandar utama dunia telah menyertai program Solidariti WeMalaysia 2017 sempena sambutan Hari Malaysia 2017 yang diraikan hari ini, 16 September.

Pengerusi International WeMalaysia Movement (WeMalaysia) Mohd Ali Halim Sirat berkata, pencapaian tahun ini amat membanggakan berbanding program pada 2016 dengan penyertaan dari 63 buah bandar sahaja, lapor Awani.

“WeMalaysia telah melancarkan program Solidariti WeMalaysia 2017 di mana ribuan rakyat berbilang kaum telah berkongsi gambar-gambar mereka di laman media sosial bagi menunjukkan semangat patriotisme dan rasa cinta mereka kepada negara tercinta.

“Program yang dilancarkan bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2017 ini telah menerima penyertaan yang amat menggalakkan sejak mula diumumkan.

“WeMalaysia juga telah menyokong beberapa program berskala besar yang telah memberikan manfaat kepada pelajar dan rakyat Malaysia di luar negara dalam usaha mereka menghayati erti sebenar kemerdekaan dan patriotisme,” katanya.

Jelasnya, program-program tersebut dianjurkan bersama-sama badan-badan gabungan persatuan pelajar Malaysia utama di Australia, UK, AS dan Indonesia.

“Dari Belfast, Ireland sehinggalah ke Melbourne, Australia dan dari Puncak Sejati Mt Raung di Indonesia sehingga ke Tsaritsyno Park di Moscow, rakyat Malaysia berbilang kaum menunjukkan bahawa biar jauh di perantauan, semangat cintakan Malaysia tetap tersemat kukuh di jiwa dan amat menebal sekali.

“Penyertaan yang amat menggalakkan daripada peserta menunjukkan pelajar dan diaspora Malaysia di luar negara kekal bersolidariti demi Malaysia yang aman dan makmur.

Katanya lagi, himpunan gambar-gambar tersebut boleh didapati di laman Facebook https://www.facebook.com/WeMalaysiaOrg/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.