Chong Wei Lupakan Episod Duka

Jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei sudah melupakan kekalahan pada Kejohanan Badminton Dunia di Glasgow, Scotland bulan lalu dan mula fokus pada perancangan masa depan.

Pada ketika ini, bekas pemain No.1 dunia itu sedang menjalani persiapan rapi bagi menghadapi kejohanan Siri Super Terbuka Jepun yang merupakan kejohanan terakhirnya tahun ini bermula 19 hingga 24 September ini, lapor Kosmo.

Kata Chong Wei, selain Terbuka Jepun, beliau juga melakukan persediaan bagi membantu negara pada kejohanan-kejohanan besar tahun depan termasuk Sukan Komanwel, Sukan Asia, Piala Thomas serta kejohanan dunia.

“Perasaan saya pada ketika ini baik sahaja dan fokus saya sekarang hanyalah pada Terbuka Jepun. Mengenai kekalahan di Glasgow, saya terima dengan hati terbuka dan mula buat perancangan untuk masa depan bersama jurulatih.

“Jadual pada tahun depan sangat padat dengan kejohanan-kejohanan seperti Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Piala Thomas. Jadi, saya perlu bincang dengan jurulatih mengenai perancangan masa depan,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara semalam.

Sebelum ini, pemain berusia 35 tahun itu berdepan situasi yang cukup mengecewakan apabila tersingkir seawal pusingan pertama pada kejohanan dunia selepas tewas 19-21, 24-22, 17-21 kepada pemain Perancis, Brice Leverdez.

Pada Terbuka Jepun kali ini, pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu akan turun selaku juara bertahan tanpa ditemani ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek sebaliknya bersama jurulatih perseorangan wanita, Tey Seu Bock.

Mengulas mengenai ketiadaan Misbun pada Terbuka Jepun itu, Chong Wei menegaskan, tidak ada sebarang masalah antara mereka selain mengakui beliau tidak kisah siapa sahaja yang akan menemaninya.

“Walaupun Seu Bock yang iringi saya tetapi tidak ada apa-apa masalah (dengan Misbun) sebenarnya. Saya tidak kisah siapa pun jurulatih yang ikut kerana kami semua adalah satu keluarga yang sentiasa bekerjasama.

“Sebenarnya, BAM (Persatuan Badminton Malaysia) hantar Seu Bock sahaja kerana perseorangan lelaki dan wanita ma­sing-masing menghantar se­orang pemain sahaja, jadi beliau akan latih saya dan Soniia (Cheah) di sana,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.