Ada Sinar Buat Bola Sepak Malaysia Kata KJ

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin melihat masa depan bola sepak Malaysia semakin cerah berikutan perkembangan positif pasukan muda negara di pentas antarabangsa.

Khairy berkata kejayaan pasukan Bawah 22 (B-22) layak ke Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 dan mara ke final Sukan SEA pada bulan lalu, selain kejayaan pasukan B-18 layak ke final Kejohanan B-18 Persekutuan Bola Sepak Asia Tenggara (AFF) 2017, semalam memberikan harapan besar untuk kejayaan skuad Harimau Malaya dalam masa lima tahun lagi.

Skuad B-18 mara ke perlawanan akhir untuk bertemu Thailand esok selepas menewaskan pasukan tuan rumah Myanmar melalui penentuan tendangan penalti 5-4 setelah kedudukan sepenuh masa terikat 0-0.

“Ini membuktikan bahawa perubahan di bawah kepimpinan baharu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah membuahkan hasil. Mereka melihat kepada lima hingga 10 tahun akan datang, bukan hanya memberi fokus kepada pasukan kebangsaan senior yang sedia ada.

“Sekiranya pasukan-pasukan muda di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee (B-23), Bojan Hodak (B-18) dan Lim Teong Kim (Program Pembangunan Bola Sepak Negara – PPBN) dikekalkan momentum dan diberi pendedahan secukupnya, pasti skuad kebangsaan kita akan menjadi satu pasukan yang digeruni lawan,” katanya kepada pemberita selepas melawat beberapa venue Sukan Para ASEAN kesembilan di Bandar Sukan Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Menurut Khairy, pemain-pemain muda berkenaan perlu mengembangkan kerjaya bola sepak dengan menimba pengalaman untuk meningkatkan kebolehan dan kemampuan mereka, bukan sahaja di peringkat domestik tetapi juga di peringkat antarabangsa.

“Saya bangga apabila pemain skuad Sukan SEA kita tarik minat pasukan serantau. Mereka juga harus melihat kepada peluang untuk menimba pengalaman bersama kelab-kelab terbaik di benua Asia dan kalau boleh di Eropah,” katanya.

Sementara itu, mengenai keputusan AFC untuk meneruskan perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 antara Malaysia dan Korea Utara di Pyongyang, Khairy berkata buat masa ini, tiada halangan daripada kerajaan untuk skuad Harimau Malaya beraksi di negara Asia Timur itu.

Skuad kendalian Nelo Vingada akan bertemu Korea Utara pada 5 Okt ini dalam aksi ketiga Kumpulan B, pusingan kelayakan terakhir Piala Asia 2019.

Perlawanan melibatkan kedua-dua pasukan itu yang pada awalnya dijadualkan pada 28 Mac lepas di Pyongyang ditunda ke 8 Jun selepas ketegangan hubungan diplomatik ekoran pembunuhan Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-un di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Feb lalu.

Berikutan ketegangan itu berlanjutan, aksi tersebut sekali lagi ditunda ke 5 Okt ini, hanya lima hari sebelum perlawanan menentang Hong Kong pada 10 Oktober.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.