Saran semua masjid adakan solat jenazah ghaib

SHAH ALAM – Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyarankan semua masjid utama di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk melaksanakan solat jenazah ghaib di atas pemergian Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din.

 

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri itu turutu menyarankan solat sama turut dilakukan di masjid serta surau di bawah Jabatan Agama Islam Persekutuan (Jawi).

 

“Dengan penuh rasa hiba dan dukacita, negara kita telah kehilangan seorang tokoh yang telah banyak menyumbangkan jasa bakti kepada agama dan negara.

 
“Sehubungan itu, saya menyeru seluruh umat Islam di Malaysia agar dapat mengadakan solat jenazah ghaib sebaik sahaja mendapat maklum bahawa urusan-urusan berkaitan di sana telahpun disempurnakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Haron disahkan meninggal dunia di Hospital Stanford University Amerika Syarikat pagi ini selepas dilaporkan dalam keadaan kritikal akibat komplikasi jantung.

 

Pemergian Haron disampaikan melalui akaun Facebook rasmi milik Allahyarham.

 

Dalam pada itu, Jamil Khir turut memohon kerjasama Majlis Agama Islam dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri untuk menyarankan seluruh masjid di negeri masing-masing melaksanakan solat jenazah ghaib.

 

“Justeru itu, saya mengharapkan agar seluruh ahli keluarga Allahyarham bersabar dan tabah dengan ujian ini.

 

“Saya doakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama golongan yang beriman dan bertaqwa di sisi Ilahi,” katanya lagi.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.