Penasihat Undang-Undang Anwar Cari Simpati Murahan Kata Armand

KUALA LUMPUR – Penasihat undang-undang antarabangsa Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kimberley Motley, sengaja mencari simpati rakyat negara ini apabila meminta penjelasan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) selepas tidak dibenarkan bertemu bekas ketua pembangkang itu di penjara.

 

 

Exco Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, ia sekali gus dilihat sebagai satu gimik politik menjelang Perhimpunan Bersih 5 yang akan diadakan 19 November ini.

 

 

“Apabila kita kaji dan nilai isu itu secara matang, ia hanya satu lagi gimik politik untuk raih simpati dan sokongan rakyat bagi menghadapi Bersih 5.

 

 

“Jika dinilai dan dihayati modus operandi mereka apabila menganjurkan Perhimpunan Bersih, tidak lain hanya untuk kembali memainkan isu Anwar sebagai tahanan politik.

 

 

“Majoriti rakyat Malaysia tahu Anwar dijatuhkan hukuman kerana kesalahan moral dan didapati bersalah dalam sistem dan proses undang-undang negara,” katanya kepada Astro AWANI ketika dihubungi.

 

 

Mengulas kenyataan Motley susulan dimaklumkan bahawa pegawai KDN tiada di pejabat bagi memberi penerangan kepadanya, Armand menegaskan, penasihat tersebut sengaja mencari simpati murahan dalam kes pemenjaraan Anwar.

 
Armand turut memberi amaran agar Motley tidak masuk campur urus tadbir negara dan sistem undang-undang negara.

 

 

“Kerajaan mampu menjaga dan mentadbir negara Malaysia, khususnya dalam sistem undang-undang. Saya nasihatkan Motley selesaikan isu-isu di Amerika Syarikat sendiri sebelum masuk campur urusan di Malaysia,” tegasnya.

 

 

Dalam perkembangan berasingan, Armand mahu Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya mengingatkan kembali kata-katanya semasa di dalam UMNO tentang pembebasan Anwar.

 

 

“Adakah Muhyiddin terlupa kata-katanya sendiri ketika dalam UMNO dalam isu Anwar? Adakah kini bila tiada kuasa mula menukar pendirian hanya kerana mahu mengekalkan kuasa, ibarat meludah ke langit hinggap ke muka kembali.

 

 

“Inilah saya nyatakan sebahagian daripada gimik politik sebelum Perhimpunan Bersih. Yakinlah, akan ada lagi permainan politik kotor mereka hanya untuk mencipta gelombang perhimpunan pada November depan,” katanya.-Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.