‘Pemergian Haron Din Kehilangan Besar’ – Najib

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan pemergian Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Dr. Haron Din sebagai kehilangan besar kepada negara.

 

Beliau berkata, Allahyarham merupakan seorang tokoh ulama Islam yang banyak berjasa dan amat beliau hormati.

 

“Malaysia kehilangan seorang tokoh ulama Islam yang banyak berjasa dan amat saya hormati. Secara peribadi, saya dan keluarga kehilangan seorang rakan rapat dan disayangi.

 

 

“Meskipun landasan politik kami berbeza, kami sama-sama inginkan perkara yang serupa, Malaysia negara Islam yang terus makmur dan sejahtera.

 

 

“Saya rapat dengan beliau, kami inginkan Malaysia negara Islam makmur. Moga roh Allahyarham Haron Din dikurnia husnul khotimah & Al-Jannah. Al-Fatihah,” tulisnya di Facebook beliau.

 

 

Terdahulu, Haron Din meninggal dunia di sebuah hospital di Hospital Stanford University, San Francisco, Amerika Syarikat pada jam 10.05 waktu Malaysia pagi tadi.

 

 

Sebelum ini, Dr Haron, 76, juga pengasas pusat perubatan Islam Darussyifa’ Malaysia, ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital tersebut akibat komplikasi jantung.

 

 

Allahyarham Dr Haron dilantik sebagai Mursyidul Am PAS pada tahun lalu selepas pemergian Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Beliau mula bergiat aktif dalam parti sejak tahun 1974 dan pernah memegang jawatan-jawatan penting dalam parti seperti Ahli Majlis Syura Ulama dan Timbalan Mursyidul Am sebelum ini.

 

 

Allahyarham meninggalkan seorang isteri Datin Khatijah Din dan lima orang anak.-SuaraTV

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.