Mahathir Mengadap YDP Agong, Serah Deklarasi Rakyat

KUALA LUMPUR – Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah bagi menyerahkan 1.4 juta tandatangan mahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan semalam.

 

Pertemuan itu disahkan pegawai khas Dr Mahathir, Sufi Yusof.

 

“Beliau membawa satu set ‘dokumen’,” katanya.

 

Dr Mahathir pergi mengadap baginda di Istana Anak Bukit di Alor Setar, Kedah pada jam 4.30 petang dengan ditemani bekas Naib Pengerusi Umno Bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

 

Menurut Khairuddin, bekas perdana menteri dan Agong berbincang selama satu jam 15 minit dalam pertemuan itu.

 

“Pertemuan itu hanya Dr Mahathir dan Agong. Perbincangan telah dilakukan bersama Agong dan kita akan maklumkan kemudian,” katanya kepada sebuah portal.

 

Kali pertama Deklarasi Rakyat dibacakan kepada umum adalah pada 4 Mac lalu.

 

Antara lain ia menuntut Najib melepaskan jawatan bagi membuka jalan kepada reformasi proses demokrasi, dan memulihkan prinsip pengasingan kuasa antara Eksekutif, Legislatif dan Kehakiman.

 

“Hasrat 1.4 juta rakyat telah sampai ke tangan Agong,” kata Ahli Jawatankuasa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Anina Saadudin. PPBM diasaskan oleh Mahathir tahun ini sebagai persediaan untuk mencabar Umno dalam pilihan raya umum ke-14.

 

“Kami berjanji Deklarasi Rakyat akan dihantar kepada Agong, dan Dr Mahathir telah tunaikan janjinya,” tegasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.