Lepas Berlaku Kudeta Di Mesir, Beratus Pelajar Malaysia Berdepan Penyingkiran

KUALA LUMPUR — Seramai 150 pelajar Malaysia bidang perubatan, pergigian dan farmasi di Mesir berdepan penyingkiran, dedah Persatuan Pelajar-Pelajar Sains Kesihatan Malaysia-Mesir (Perubatan).

 

Persatuan itu merayu bantuan bagi meringankan beban kumpulan pelajar terbabit yang pada mulanya melanjutkan pelajaran secara pembiayaan sendiri dengan harapan memperoleh tajaan apabila memohon berbekalkan keputusan cemerlang tahun satu.

 

Bagaimanapun, sejak rampasan kuasa tentera di Mesir pada 2013, agensi kerajaan seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) menghentikan sepenuhnya amalan penajaan atau pembiayaan sedemikian.

 

Presiden Perubatan Muhammad Ikraam Abdul Latif yang juga pelajar tahun enam di Universiti Kaherah berkata kebanyakan pelajar terjejas, kini bergantung bantuan sara hidup melalui Tabung Kasih Sayang Perubatan, hasil sumbangan sesama pelajar bersimpati di sana.

 

“Isu tunggakan yuran pengajian semakin serius sejak kejatuhan nilai ringgit akhir tahun lalu yang memberi kesan kepada pertukaran mata wang tempatan ke dolar Amerika Syarikat dan pound sterling menyebabkan kos membayar yuran pengajian menjadi lebih tinggi.

 

“Kos sara hidup di Mesir meningkat hampir 50 peratus berbanding dua tahun lalu. Keadaan ini sememangnya menekan kami khususnya pelajar yang tidak mempunyai tajaan dan pinjaman pelajaran,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

 

Dalam pada itu, pelajar perubatan di Mesir sepakat melancarkan Projek Hope sejak bulan lalu bagi membantu rakan yang dibebani masalah kewangan.

 

Setiausahanya, Nurul Filzah Ayuni Rohaizat berkata bantuan tersebut dijalankan dengan kerjasama Yayasan Assegaff kendalian bekas pelajar Malaysia yang pernah belajar di Mesir.

 

“Sebagai permulaan kami menyasarkan AS32,000 (RM128,000) sehingga akhir tahun ini untuk membantu empat pelajar yang sangat memerlukan bagi membayar tunggakan yuran pengajian selama setahun berjumlah AS8,000 (RM32,000) untuk mengelak penyingkiran.

 

“Setakat ini, maklum balas diterima agak menggalakkan apabila dapat mengumpul RM10,000. Kami merancang mendekati syarikat swasta bagi merayu sumbangan kerana setakat ini kami menerima sumbangan individu,” dia dilaporkan berkata. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.