Keluarga Sepakat Mahu Kebumi Jenazah Haron Din Di San Francisco – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, jenazah Mursyidul Am PAS Allahyarham Datuk Dr. Haron Din akan dikebumikan di San Francisco, Amerika Syarikat.

 

Beliau dimaklumkan mengenai perkara itu selepas berhubung dengan keluarga Haron.

 

“Baharu bercakap dengan keluarga TG Dt Dr Harun Din (Tuan Guru Datuk Dr Haron Din). Keluarga sepakat pengkebumian di San Francisco.

 

“Solat jenazah di Masjid AnNur di sana,” katanya dalam catatan terbaharunya di laman Twitter rasmi beliau hari ini.

 

Sebelum ini, Ahmad Zahid memaklumkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan beliau sudah menguruskan penghantaran jet ke Amerika Syarikat bagi membawa pulang jenazah tokoh agama itu.

 

Haron, 76, meninggal dunia pada 10.10 pagi (waktu Malaysia) di Hospital Stanford University, San Francisco, Amerika Syarikat akibat komplikasi jantung.

 

Allahyarham dimasukkan ke hospital berkenaan bagi mendapatkan rawatan lanjut berhubung masalah jantung yang dihidapinya.

 

Allahyarham meninggalkan isteri Datin Khatijah Salleh serta dua anak lelaki dan tiga anak perempuan.- BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.