Putrajaya Belum Buat Keputusan Kenakan GST Ke Atas Petrol, Diesel

Kuala Lumpur – Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan mengatakan Putrajaya belum membuat keputusan muktamad untuk mengenakan Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST) ke atas petrol dan diesel.

Kenyataan Ahmad tersebut hadir selepas PKR awal hari ini mendakwa cukai GST akan dikenakan ke atas bahan bakar tersebut.

“Kami masih belum buat keputusan akhir,” kata Ahmad seperti dilaporkan The Star Online.

Beliau juga menjelaskan keputusan untuk menyenaraikan kedua-dua bahan tersebut daripada dikecualikan GST juga belum dicapai.

Kerajaan dijangka akan memberi senarai gazet penuh pada 10 Oktober ketika pembentangan Bajet 2015 di Parlimen nanti.

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata hari ini Penolong Pengarah Kanan Jabatan Kastam dan Eksais Ishak Daud sendiri mendedahkan cukai GST akan dikenakan ke atas petrol dan diesel dalam satu taklimat GST anjuran Universiti Tuanku Abdul Rahman minggu lalu.

“Laporan akhbar Sin Chew Daily turut dipetik oleh laman kereta paultan.org, mengesahkan Umno-Barisan Nasional (BN) akan mengenakan GST ke atas petrol dan diesel.

“Ini mengesahkan sangkaan saya selama ini bahawa Umno-BN akan mengenakan GST ke atas petrol dan diesel yang secara langsung bermakna harga minyak akan dinaikkan apabila GST dilaksanakan dalam April 2015 kelak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

GST pada kadar 6% akan dilaksanakan mulai 1 April tahun depan bagi menggantikan cukai jualan dan cukai perkhidmatan sedia ada yang berkadar keseluruhan 16%.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.