Mat Sabu Rasmikan Muktamar Pemuda, 50 Pemuda PAS Tinggalkan Dewan

Kota Tinggi – Kehadiran Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu bagi merasmikan Muktamar Tahunan Pemuda PAS Ke-55 tidak disenangi sebilangan perwakilan sayap parti itu yang bertindak meninggalkan dewan ketika pemimpin PAS berkenaan berucap.

Tindakan kira-kira 50 perwakilan itu dikatakan berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap Mohamad ataupun lebih dikenali sebagai Mat Sabu yang sebelum ini mempertikai kepemimpinan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Majlis Syura Ulama, khususnya berhubung krisis Menteri Besar Selangor.

Kumpulan perwakilan terbabit yang dipercayai kumpulan pro-Ulama, memakai jaket yang tertera ‘Kami bersama Presiden dan Majlis Syura Ulama’.

Mereka keluar meninggalkan dewan muktamar sebaik Mohamad memulakan ucapannya dan masuk semula selepas beliau selesai berucap. Bagaimanapun, ketika ditemui di pekarangan dewan, beberapa perwakilan terbabit mengelak untuk ditemu bual.

“Minta maaf…tiada komen,” kata mereka sambil beredar ke meja makan berhampiran dewan berkenaan.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, berkata insiden seperti keluar dewan itu tidak sepatutnya berlaku dalam kalangan Pemuda PAS.

“Saya tidak dapat pastikan kerana saya duduk di hadapan. Tetapi saya harap perkara itu tidak berlaku dalam suasana kehebatan pada pemuda yang ada pada hari ini.

“Bagaimanapun, kita akan dengar laporan daripada Muktamar Pemuda apa yang berlaku sebenarnya,” katanya ketika ditemui selepas perasmian Muktamar Tahunan Pemuda PAS ke-55 di sini, sebentar tadi.

Mat Sabu, bagaimanapun menafikan tindakan sebilangan perwakilan berkenaan sebagai tanda protes kepada beliau.

“Keluar masuk dewan itu perkara biasa. Kebetulan ketika saya berucap, sudah masuk waktu Asar. Takkan kita nak halang mereka keluar masuk,” katanya pada sidang media selepas itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.