Lawatan Singkat Muhyiddin Beri Impak Besar Kepada Rakyat Kelantan

Tumpat – Meskipun lawatan Timbalan Pendana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Kelantan kali ini singkat namun memberi kesan yang besar kepada rakyat Kelantan, khususnya pengundi di Pengkalan Kubor.

Muhyiddin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman memulakan jadual padat beliau dengan menghadiri Majlis Ramah Mesra dengan hampir 2,000 penduduk masyarakat Siam di Wat Machimmaram pada kira-kira 10.25 pagi.

Ketibaan beliau ke Wat itu diiringi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed, Timbalan Ketua Umno Bahagian Tumpat Datuk Rosdi Abd Aziz dan calon Barisan Nasional (BN) Mat Razi Mat Ail.

Pada majlis itu, beliau sempat bermesra dengan penduduk yang hadir dan menyampaikan amanat bahawa kerajaan Persekutuan tidak pernah meminggirkan kebajikan mereka dan akan terus memberi bantuan.

Muhyiddin turut menyampaikan cek bernilai RM200,000 kepada Ketua Sami Wat Machimmaram Prak Khru Wikthet Thammanard Tham Thit untuk pembiayaan pendidikan bahasa Siam.

Beliau kemudian melawat rumah empat penduduk di Kampung Bendang Pak Yong, Kampung Naga Ibu dan Kampung Simpangan dan meluangkan masa selama 15 minit di setiap rumah yang dikunjungi untuk bertanya khabar serta permasalahan mereka.

Penduduk terbabit turut menerima rawatan daripada Pegawai Kesihatan Bahagian Kecemasan Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II iaitu Fauzi Che Hussin, yang menyertai rombongan Timbalan Perdana Menteri.

Selepas itu, Muhyiddin ke Masjid Mukim Simpangan Hilir untuk menunaikan solat Zohor bersama lebih 100 jemaah.

Beliau kemudian mengumumkan sumbangan berjumlah RM500,000 untuk menaik taraf masjid itu sebelum beramah mesra dengan lebih 20 pelajar Pondok Simpangan pada 1.45 tengah hari.

Timbalan Perdana Menteri kemudian singgah ke rumah Mat Razi sebelum pulang ke ibu negara pada kira-kira 3.00 petang.

PRK DUN Pengkalan Kubor bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mat Razi, calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon BEBAS Izat Bukhary Ismail Bukhary.

Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar, 57, daripada BN akibat kanser hati pada 20 Ogos lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 25 Sept sebagai hari pengundian.

Pada pilihan raya umum ke-13, Noor Zahidi mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan Izat Bukhary (BEBAS) dengan majoriti 1,736 undi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.