Guna Sos Cili Tulis ‘Malaysia’ Atas Tuala Untuk Minta Bantuan

Sepang – “Kami terpaksa memikirkan pelbagai cara untuk menarik perhatian bagi menyelamatkan diri, termasuk menggunakan sos cili untuk menulis perkataan ‘Malaysia’ atas tuala”.

Selain itu, sekumpulan 15 rakyat Malaysia itu yang terpaksa menyelamatkan diri ke bumbung hotel dalam suhu 16 darjah celcius turut menggantung baju yang mempunyai corak bendera Malaysia.

Mereka terpaksa duduk atas bumbung hotel setinggi empat tingkat itu selama beberapa jam pada 7 Sept lepas selepas terperangkap dalam banjir yang melanda Jammu dan Kashmir, India, baru-baru ini, sebelum diselamatkan penduduk setempat.

Menceritakan detik mencemaskan itu yang dilaluinya bersama-sama 15 anggota keluarga dan rakan, Farisha Elaina Abdul Hanif berkata, cuaca sejuk ketika itu tidak dihiraukan kerana apa yang lebih penting kami diselamatkan.

“Kami melakukan apa sahaja bagi menarik perhatian badan penyelamat semasa berada atas bumbung hotel itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini selepas tiba dari Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi di New Delhi.

Farisha Elaina, 23, berkata mereka pergi ke Jammu dan Kashmir bagi menghadiri majlis perkahwinan kakaknya dengan seorang rakyat negara itu dan telah terkandas sembilan hari sejak 6 September di kawasan itu.

Katanya kakak dan abang iparnya juga kembali ke tanah air hari ini tetapi menaiki Malindo Air dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

Menceritakan pengalaman tersebut, Farisha Elaina berkata hotel yang diduduki mereka berhadapan dengan empangan ‘Tasik Dall’ dan hujan lebat berterusan menyebabkan empangan tersebut pecah dan melimpah ke dalam hotel.

Beliau berkata dalam masa 24 jam sahaja air dari paras dada telah meningkat sehingga ke paras bumbung.

“Untuk menyelamatkan diri ke atas bumbung itu juga kami bertarung nyawa untuk meredah air yang deras. Setelah beberapa jam duduk atas bumbung hotel, kami diselamatkan oleh penduduk setempat dengan menggunakan sampan,” katanya.

Katanya cabaran yang dihadapi bukan terhenti di situ malah terpaksa berebut dengan kira-kira 5,000 penduduk setempat untuk menaiki trak tentera untuk ke tempat yang lebih selamat.

Beliau berkata setelah beberapa hari terkandas, akhirnya mereka dibawa menaiki helikopter ke Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi di New Delhi.

Sementara itu ibu Farisha Elaina, Datin Norzam Aini Hamzah, 59, berkata pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi melakukan tugas mereka dengan cekap dan pantas bagi menyelamatkan rakyat Malaysia.

“Saya ingin berterima kasih kepada pihak suruhanjaya kerana cekap menjalankan tugas dan berusaha keras menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.