BN Mahu Tingkatkan Majoriti Undi Di PDM Yang Dimenangi Pada PRU Lepas

Tumpat – Semua jentera Barisan Nasional (BN) termasuk Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri diarah bekerja keras bagi meningkatkan majoriti undi BN di tujuh Pusat Daerah Mengundi (PDM) dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor 25 Sept ini.

Pengarah Jentera BN bagi Pilihan Raya Kecil itu, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata: “Strategi kita adalah untuk menang di tujuh kubu kuat BN seperti Simpangan, Jubakar Darat dan Bendang Pak Yong.

“Selain itu di lima PDM yang tidak memihak kepada BN (PDM itu dimenangi PKR pada PRU lalu), kalau boleh kita nak menang…atau kita ingin kurangkan majoriti undi pihak lawan,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi seorang penduduk Kampung Simpangan, Awang Yusof, 75, di sini, pada Selasa.

Turut hadir Pemangku Ketua Umno Bahagian Tumpat Datuk Rosdi Abdul Aziz.

Mustapa berkata selain mengadakan ceramah, jentera BN akan memberi tumpuan kepada kempen dari rumah ke rumah.

“Jentera wanita akan bergerak dari rumah ke rumah dan kita kenalpasti di PDM Simpangan ada lebih 7,000 rumah,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13, calon BN Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary dengan majoriti 1,736 undi di DUN berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.